KUANTAN : Pahang bakal menerima pampasan di atas usaha cemerlang dalam mengekalkan kawasan hutan simpan melalui perbincangan yang telah dimulakan bersama kerajaan Persekutuan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun ia masih dalam perbincangan dan pertemuan pertama telah diadakan pada Selasa lalu di Putrajaya bagi memuktamadkan jumlah pampasan yang layak diterima.
“Perbincangan itu adalah susulan pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hujung minggu lalu mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan memberikan sejumlah pampasan kepada Pahang.
“Kita sudah menyatakan hasrat kerajaan Pahang berkaitan perkara ini dan perjumpaan (perbincangan) juga sudah dimulakan, cuma setakat ini (jumlah pampasan) masih belum diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada penerima, Encik Mat Mingan Saparun, 73, di Kampung Cenderawasih.
Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Pahang sememangnya layak menerima pampasan di atas semua usaha yang dilakukan selama ini.
“Perkara ini (pampasan) adalah sangat wajar memandangkan 57.07 peratus daripada 3.6 juta hektar keluasan negeri Pahang tidak diusik dan dikekalkan sebagai hutan simpan.
“Kita kehilangan hasil apabila tidak membenarkan pembalakan atau (perlombongan) sumber mineral di kawasan terbabit, tetapi kita kekalkan juga (kawasan hutan simpan) dan ia memberi manfaat kepada negeri berjiran yang mendapat bekalan sumber air melalui kawasan berkenaan,” katanya.
Ahad lalu, YAB Perdana Menteri ketika berucap dalam satu majlis di Bera memaklumkan, kerajaan akan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin pada Isnin turut menyuarakan kewajaran untuk Pahang menerima pampasan daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau mencadangkan jumlah pampasan layak diterima Pahang melebihi RM150 juta dan perlu diberi pertimbangan segera oleh kerajaan dan kementerian berkaitan.
Sumber: PAHANGMEDIA