Jumlah pengunjung ke Jambatan Angkat merosot

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Jumlah pengunjung ke Jambatan Angkat atau ‘drawbrigde’ di Kuala Nerus, mengalami kemerosotan hampir 40 peratus sejak awal tahun ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua (2.0), dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd iaitu syarikat pengendali jambatan angkat itu Khalizan Mahmud berkata, pihaknya hanya merekodkan 5,668 pengunjung pada bulan ini berbanding 14,763 pengunjung pada Disember lalu.

Beliau berkata, meskipun PKP 2.0 di Terengganu hanya bermula Jumaat lalu, namun jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu, mula berhadapan kemerosotan jumlah pengunjung sejak pertengahan bulan lalu, apabila kebanyakan penduduk di negeri di Pantai Barat terlebih dahulu menjalani PKP 2.0.

“Kita memang terkesan betul kerana majoriti pegunjung adalah dari negeri-negeri Pantai Barat seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Jadi apabila negeri-negeri tersebut dikenakan PKP jumlah pengunjung terus menjunam, apatah lagi selepas Terengganu pun dikenakan PKP minggu lepas.

“Berdasarkan rekod, pengunjung ke Jambatan Angkat adalah seramai 13,648 orang pada Oktober 2020, dan jumlah tersebut merudum kepada 2,742 pengunjung pada November (2020) ekoran pelaksanaan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat). Jumlah tersebut kembali melonjak pada Disember dan kini ia kembali merudum,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, meskipun buat masa ini tidak beroleh sebarang pendapatan, namun kerja-kerja penyelenggaraan jambatan ikonik Terengganu itu yang menelan kos lebih RM100,000 sebulan, tetap perlu diteruskan.

Namun katanya kos penyelenggaraan tersebut dapat ditampung menggunakan dana yang disimpan melalui lonjakan penjualan tiket kemasukan ke Galeri Skybridge sebelum ini, selain turut dibantu syarikat induk Terengganu Incorporated (Terengganu Inc).

Selain itu katanya, pihaknya juga mengambil inisiatif memasarkan produk cenderamata Jambatan Angkat seperti t-shirt, topi dan pelitup muka secara dalam talian sejak awal Januari ini, yang sedikit sebanyak dapat menampung kos penyelenggaraan jambatan tersebut.

“Selain melalui platform Shopee, kita juga jual barangan cenderamata di laman Facebook dan Instagram. Itu salah satu cara untuk menampung kos penyelenggaraan,” katanya.

Dalam pada itu Khalizan mengakui beberapa acara yang telah dirancang pada awal tahun ini terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, yang masih menular di negara ini.

Katanya antara yang telah dirancang adalah penganjuran pameran jualan produk industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negara, yang dijadualkan pada musim perayaan Tahun Baru Cina ini.

“Setiap bulan ada acara-acara yang kami susun, tetapi setakat merancang sahaja lah yang kami boleh buat. Dengan SOP (prosedur operasi standard) bagi mengekang penularan Covid-19 yang ketat dan sekiranya wabak berterusan, kami tidak boleh mengadakan sebarang acara yang babitkan ramai pengunjung,” katanya.

Sumber: My Metro