Jurugambar tunggu telur penyu ‘diselamatkan’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Pengalaman melihat penyu bertelur menjadi pengalaman terindah buat jurugambar The News Straits Time Press (NSTP), lewat petang semalam.

Ghazali Kori, 32, dari Kampung Pulau Manis berkata, dia ke Pantai Batu Burok selepas melihat satu video tular di media sosial memaparkan seekor penyu agar naik di pantai berkenaan kira-kira jam 6.50 petang.

“Saya terus bergegas ke pantai itu untuk mengesahkan sama ada video dikongsi warganet itu betul terjadi atau sebaliknya.

“Sebaik sampai di pantai berkenaan, saya melihat ada bekas penyu itu menyusur dari pantai ke darat dan mengikuti jejak berkenaan.

“Saya berjaya menemukan penyu agar itu yang sedang bertelur kira-kira 50 meter daripada pantai dan tidak melepaskan peluang merakam gambar penyu itu. Ketika itu penyu itu hampir habis bertelur sebelum meninggalkan telurnya untuk ke laut semula pada jam 8 malam,” katanya.

Menurutnya, kerana bimbang keselamatan telur penyu itu daripada pemangsa dan orang tidak bertanggungjawab, dia segera menghubungi Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu.

Aktivis pemuliharaan penyu Rani Awang, 56, (dua, kiri) bersama rakan-rakan menunjukkan telur penyu agar betina yang berjaya dikumpul  ketika ditemui di Pantai Batu Burok malam tadi. FOTO GHAZALI KORI
Aktivis pemuliharaan penyu Rani Awang, 56, (dua, kiri) bersama rakan-rakan menunjukkan telur penyu agar betina yang berjaya dikumpul ketika ditemui di Pantai Batu Burok malam tadi. FOTO GHAZALI KORI

“Saya dan rakan tunggu di kawasan telur itu sehingga wakil JPM dan badan bukan kerajaan (NGO) pemuliharaan penyu datang menyelamatkan telur berkenaan.

“Pengalaman melihat penyu bertelur di hadapan mata bukan sesuatu yang biasa kerana dianggarkan lebih 16 tahun penyu tidak naik ke pantai itu untuk bertelur,” katanya.

Sementara itu, seorang aktivis pemuliharaan penyu, Rani Awang berkata, proses mengutip 50 telur penyu agar itu selesai sepenuhnya pada jam 11 malam.

“Faktor kualiti pantai yang semakin bersih dan tenang tanpa kehadiran orang ramai susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan reptilia itu berasa selamat untuk bertelur di pantai berkenaan,” katanya yang juga Pengasas Konservasi Penyu Marang.

Penyu agar betina bergerak menuju ke laut selepas selesai bertelur di Pantai Batu Burok malam tadi. Penyu bersaiz kira-kira 0.914 meter (3 kaki) panjang dan seberat 100 kilogram mendarat untuk bertelur di pantai peranginan itu kira-kira pukul 6.50 petang semalam. FOTO GHAZALI KORI

Sumber: My Metro