Juruwang Lesap RM15,000 Sekelip Mata

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Seorang jurujual wanita mengalami kerugian sebanyak RM15,000 sekelip mata setelah ditipu kononnya mempunyai tunggakan cukai pendapatan serta terlibat dengan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

Mangsa yang dikenalpasti berusia 30 tahun sebelum ini menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada jam 11 pagi semalam.

Suspek tersebut memaklumkan kepada wanita itu bahawa dia mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM52,000 tetapi dinafikan mangsa yang kemudian diarah untuk membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, talian mangsa kemudian disambung kepada seorang lelaki kononnya anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Mangsa dimaklumkan terbabit dengan pengubahan wang haram dan pengedaan dadah setelah semakan dibuat sebelum talian disambung kepada lelaki yang kononnya sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.”

“Lelaki yang menyamar sebagai Datuk itu memberi pilihan sama ada waran tangkap dikeluarkan atau mangsa membuat semakan akaun kerana didakwa menerima rasuah dan wang hasil kegiatan jenayah,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang ketakutan diminta pergi ke bank di Tanah Merah untuk memohon perbankan internet bagi memudahkan membuat semakan.

“Sebaik mengisi segala maklumat, mangsa diminta menunggu 15 minit dan suspek memaklumkan akan menghubungi semula.”

“Mangsa berasa curiga dan membuat semakan sebelum mendapati wang dalam akaunnya sebanyak RM15,000 hilang,” tambah beliau.

Menurutnya, mangsa yang berasa tertipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan polis sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sumber: HARIAN METRO