KUANTAN: Berinspirasikan daripada sangkar ikan, mencetuskan idea buat seorang anak jati Temerloh untuk membina sebuah kabin terapung bagi menyimpan peralatan elektrik dan barangan berharga ketika banjir teruk melanda Pahang, baru-baru ini.
Kabin seolah-olah rumah rakit yang diperbuat daripada zink dan besi serta diapung menggunakan tong drum plastik itu, diilham Zahari Lambak, 55, untuk ibunya Mek Jah Omar, 77, yang menetap di Kampung Gantuk, Temerloh kira-kira 120 kilometer dari sini.
Pekerja swasta itu berkata pengalaman menghadapi banjir buruk pada 2014 membuatkan beliau mencari alternatif bagi menyelamatkan barangan milik ibunya daripada musnah ditenggelami air.
“Rumah mak saya pernah berhadapan banjir buruk beberapa tahun lalu, ketika itu semua barangan elektriknya rosak.”
“Kejadian itu membuatkan saya terfikir bagaimana cara terbaik untuk simpan dan selamatkan barang-barang sekiranya kejadian sama berulang.
Selepas melihat sangkar ikan yang dibuat menggunakan tong plastik biru saya mendapat idea membina kabin terapung,” katanya kepada Bernama.Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, beliau membelanjakan kira-kira RM1,000 dan menyiapkan kabin terapung berkeluasan 112 kaki persegi itu dalam tempoh empat hari.
“Bagi saya, bina kabin ini tidak sukar cuma perlukan kesabaran seperti membina rumah. Barang-barang semua saya beli sendiri dan ia perkakas yang mudah dimiliki antaranya tong drum plastik biru, besi dan atap zink,” katanya.
Zahari berkata untuk memastikan kabin itu tidak hanyut dibawa arus deras, beliau mengikatnya pada sebatang pokok.
Katanya, kabin berkenaan ternyata berguna ketika banjir, apabila barang-barang berharga dapat diselamatkan selepas air naik mencecah tiga meter di kampung berkenaan, pada 3 Jan lepas.
“Ketika air mula naik, adik dan mak saya sempat memindahkan mesin basuh, televisyen dan barang berharga lain ke dalam kabin berkenaan, syukur barangan di rumah mak selamat daripada ditenggelami air, situasi banjir kali ini memang di luar jangkaan dan kabin berkenaan tenyata sangat berguna,” katanya.
Sumber: Astro Awani