Kadar Hujan Lebat Melebihi Biasa Sebab Banjir Kilat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kadar hujan yang lebih lebat daripada biasa menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda berkata taburan hujan yang turun dalam tempoh dua hari ini melebihi 120 milimiter (mm).

“Hujan berterusan bermula 16 Disember hingga 7 pagi pada 17 Disember merekodkan taburan hujan melebihi 120 mm menyebabkan berlaku bencana banjir kilat dibeberapa penempatan sekitar daerah Kuantan dan faktor angin kencang turut menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang serta beberapa jalan telah ditutup disebabkan limpahan air.

“Punca banjir kilat disebabkan kadar hujan yang berterusan menyebabkan limpahan air longkang berhampiran kawasan penempatan. Beberapa sungai utama di daerah Kuantan juga merekodkan amaran waspada,” katanya.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 37 lokasi pokok yang tumbang akibat ribut telah pun dibersihkan oleh agensi terlibat.

“Terdapat 67 lokasi kejadian pokok tumbang di sekitar Kuantan, di mana 37 telah pun selesai dibersihkan.

“Ini melibatkan pokok yang menghalang jalan dan menghempap sebahagian rumah. Manakala 30 lokasi lagi akan dibersihkan esok hingga selesai.

“Beberapa agensi terlibat dalam membantu kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang yang diketuai oleh Jawatankuasa Bencana Daerah yang terdiri dari Pejabat Tanah Dan Daerah Kuantan, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK),Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), SWCorp, Angkatan Pertahan Awam (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan bantuan dari Jabatan Hutan Pahang, Alam Flora Sdn Bhd, Road Care Sdn Bhd, dan YPM Sdn Bhd,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di dalam musim monsun yang sedang berlaku di negeri ini.

“Orangramai diminta sentiasa berhati hati dalam suasana sekarang di mana monson ini akan berlarutan sehingga akhir bulan ini. Hujan lebat dan angin kencang akan berlaku bila-bila masa.

“Elakkan anak-anak bermain atau mandi di sungai, anak sungai atau parit atau di pantai kerana ombak masih besar dan berbahaya.

“Agensi-agensi berkaitan juga akan sentiasa membuat rondaan di kawasan-kawasan berisiko memastikan keselamatan orang ramai diutamakan dari sebarang bencana,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA