SHAH ALAM – Kadar kebolehpasaran penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatatkan peningkatan kepada 89.4 peratus tahun lalu, berbanding 2021.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, berkata ia sekali gus menunjukkan peratusan itu sudah hampir mencapai 90 peratus yang disasarkan pada 2025.
Beliau berkata, pencapaian itu akan menjadi faktor menyumbang kepada bakal pelajar untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan.
“Graduan yang dihasilkan sekarang bukan saja mempunyai kemahiran dari segi kognitif ditetapkan, malah menguasai ‘generic skill’ (kemahiran am) dan ‘street smart’ (kemahiran kendiri) yang mana graduan dapat menyesuaikan diri dengan situasi baharu.
“Pelajar kita didedahkan dengan kemahiran komunikasi, program asas Kementerian selain pembangunan karekter.
“Kita juga mendedahkan sahsiah diri, ‘softskill’ serta tentang kehidupan atau cabaran di luar (menjadikan graduan UiTM menjadi pilihan majikan dalam dan luar negara),” katanya pada Majlis Penutup Ekspo Selangkah ke UiTM (ESKU) di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, serentak di UiTM Cawangan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak dihadiri seramai 26,442 termasuk 11,520 pengunjung di UiTM Shah Alam.
Roziah berkata, pihaknya melalui program berkenaan mensasarkan jumlah pengambilan sebanyak 65,000 bakal mahasiswa pada sesi kemasukan 2023/2024.
Katanya, UiTM turut tersenarai dalam QS World University Rankings by Subject 2023 bagi 13 subjek antaranya Pengurusan Hotel dan Pelancongan yang berada di kedudukan 100 terbaik dunia, subjek Kejuruteraan Petroleum dalam kedudukan 150 terbaik dunia.
“Selain itu, subjek Seni Bina dan Alam Bina berada dalam kedudukan 151 hingga 200 terbaik dunia serta subjek Seni Lukis dan Seni Reka berada dalam kedudukan 240 terbaik dunia.
“Justeru faktor itu menyumbang kepada pemilihan bakal mahasiswa untuk menyambung pengajian mereka di UiTM.
“Justeru tujuan program ESKU adalah untuk memberikan pendedahan dan maklumat yang tepat serta menjawab segala persoalan berkaitan program akademik secara bersemuka.
“Kami yakin program ini dapat memberikan impak sangat besar kepada enrolmen mahasiswa dan minat mereka untuk melanjutkan pengajian ke UiTM,” katanya.
ESKU 2023 adalah platform terbaik untuk bakal mahasiswa membuat pilihan yang tepat dan sesuai berdasarkan keputusan diperoleh.
– BERITA HARIAN