Kadar Kebuluran Penduduk Dunia Meningkat 6 kali Ganda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber: CGTN News

Setiap satu Minit, dianggarkan 11 Orang maut akibat kebuluran menurut kumpulan asasi Oxfam. Ini menunjukkan tahap kebuluran bagi penduduk dunia telah meningkat enam kali ganda pada tahun 2020.

“Sejak pandemik COVID-19 bermula, komuniti rentan di seluruh dunia memberi mesej yang jelas, segera dan berulang yang ‘kelaparan boleh membunuh kita sebelum coronavirus’.

Oxfam memaklumkan, 11 orang kemungkinan maut setiap minit akibat kelaparan melampau, berbanding tujuh orang akibat COVID-19.

Kumpulan itu mengenal pasti tempat termasuk Yaman, Republik Afrika Tengah, Afghanistan, Sudan Selatan, Venezuela dan Syria sebagai negara di mana krisis makanan sedia ada bertambah buruk akibat pandemik yang sedang berlaku serta kesan ekonominya.

“Pengangguran besar-besaran dan pengeluaran makanan yang terganggu dengan teruk membawa kepada peningkatan 40 peratus harga makanan global, peningkatan terbesar dalam tempoh lebih sedekad,” kata Oxfam.

Secara keseluruhannya, lebih setengah juta orang sedang berada dalam ‘keadaan seperti kebuluran’ di seluruh dunia, manakala 155 juta orang dengan ‘kelaparan melampau’, jumlah yang menyamai populasi Perancis dan Jerman yang digabungkan.

Daripada 155 juta orang itu, dua daripada tiga tinggal di negara yang mengalami perang atau konflik yang berterusan.

“Konflik kekal sebagai penyumbang utama kelaparan di seluruh dunia untuk tiga tahun berturut-turut, termasuk ketika pandemik,” kata kumpulan itu.

“Kita sedang melihat krisis yang bertimpa-timpa iaitu konflik yang tidak berhenti, kesan ekonomi COVID-19 dan krisis iklim yang semakin meningkat,” kata Pegawai Advokasi Pertanian dan Keselamatan Makanan di Oxfam Perancis, Helene Botreau.

Analisis Oxfam itu dibuat menjelang laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai keselamatan makanan global, yang akan diterbitkan pada Isnin. – AFP