Kuala Terengganu: Penduduk di Terengganu disaran mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, memandangkan kadar vaksinasi dos itu yang masih rendah.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, Terengganu antara empat negeri paling rendah dari segi penerimaan suntikan dos penggalak.
Katanya, setakat semalam hanya 205,592 orang atau 27.6 peratus sudah menerima suntikan berkenaan.
“Jumlah itu masih rendah jika mahu dibandingkan dengan populasi yang layak mendapatkannya iaitu seramai 744,100 orang.
“Kita sedang berusaha untuk menggalakkan mereka yang layak untuk mendapatkan dos penggalak ini.
“Bagi pihak JKNT, kita menyeru mereka yang layak ini untuk mengambil suntikan tanpa rasa takut dan bimbang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) bagi dos penggalak, Dr Kasemani berkata, terdapat 78 PPV yang dibuka di lapan daerah di Terengganu untuk meningkatkan kapasiti pemberian dos penggalak.
“Daripada jumlah itu, 24 PPV adalah klinik kesihatan kerajaan, klinik swasta (39), hospital kerajaan (enam), hospital swasta (dua) dan tujuh PPV ‘off site’.
“Selain itu, tiga lagi PPV ‘off site’ akan mula beroperasi 17 Januari depan,” katanya.
Sumber: My Metro