Kadar Zakat Zakat Fitrah Bagi Tahun 1445/2024 Ditetapkan Tidak Kurang RM10 Dan RM22

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam di negeri Terengganu tidak kurang daripada RM10 dan RM22 bagi setiap orang.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM11 juta tahun ini, meningkat RM1 juta berbanding RM10 juta yang berjaya dikutip tahun lepas.

Tahun lalu, kadar zakat fitrah telah dikira mengikut jenis beras super tempatan lima peratus hancur, namun hasil tinjauan mendapati beras gred ini sukar didapati dan hanya sekitar 30 peratus sahaja kedai yang membekalkannya.

Jelasnya, penetapan kadar bayaran zakat fitrah diperoleh dengan mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari. Kadar zakat fitrah adalah RM10 seorang bagi mereka yang menggunakan beras jenis super import atau beras siam, manakala RM22 bagi setiap seorang untuk beras jenis premium seperti basmathi atau yang setara.

Teruntuk itu, seramai 903 orang amil zakat telah dilantik MAIDAM dan ditugaskan mengikut kawasan masing-masing bagi membantu melancarkan pengurusan zakat di Terengganu.

Keberkatan zakat itu bukan sahaja boleh dirasai dalam penambahan dan kesucian rezeki selepas berkongsi, tetapi nikmat apabila melihat orang lain bahagia dapat meneruskan hidup atas sedikit perkongsian kita. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka.