Kaji PdPR kekal jadi sebahagian ekosistem pendidikan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Langkah meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) walaupun sebahagian besar pelajar sudah ke sekolah, patut dialu-alukan. Masih ada ibu bapa mahu anak kekal belajar di rumah atas alasan kesihatan dan keselamatan.

Ia tidak terhad faktor kemampuan atau akses peranti serta liputan internet kerana terdapat ibu bapa daripada keluarga kurang berkemampuan gusar mengenai risiko kesihatan anak di sekolah yang perbelanjaan perubatan akan menambah tekanan kepada keadaan ekonomi sedia tersepit.

Dari segi prestasi akademik pelajar, kita tidak boleh membuat generalisasi pelajar enggan mengikuti pembelajaran secara bersemuka akan menunjukkan pencapaian rendah.

Hakikatnya, ada pelajar terus cemerlang dan berprestasi baik semasa tempoh PdPR meskipun dihambat pelbagai kekangan. Mereka menjadikan keterbatasan sesi PdPR sebagai cabaran untuk terbang tinggi.DISYORKAN UNTUK ANDA

Oleh itu, kita perlu adil kepada mereka yang menunjukkan prestasi akademik baik di rumah dan membenarkan mereka untuk meneruskan sesi PdPR selama diingini.

Seiring dunia pendidikan pasca pandemik COVID-19, kita perlu meneroka kemungkinan menjadikan sesi PdPR sebahagian ekosistem pendidikan secara kekal sama ada dengan atau tanpa COVID-19 dan wabak penyakit lain.

Mekanisme pelaksanaan dan strategi berkesan perlu diperhalusi agar tetap memberikan hasil selari atau lebih baik daripada sesi pembelajaran bersemuka sepenuhnya.

Antara aspek boleh dilihat, mekanisme penyampaian kandungan pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar. Elemen terbaik PdPR perlu menjadi sebahagian pertimbangan dalam penyusunan kandungan kurikulum serta silibus setiap mata pelajaran.

Kandungan mudah difahami pelajar contohnya, tidak perlu disampaikan secara bersemuka di sekolah setiap masa.

Begitu juga kandungan bertujuan mengukuhkan masteri pelajar yang boleh disampaikan dalam talian atau rakaman dan dimasukkan sebagai elemen tetap dalam sukatan serta jadual waktu kelas sehingga pelajar tidak perlu hadir secara fizikal ke sekolah setiap hari.

Ini bukan sahaja dapat terus memperkasa mod pembelajaran teradun, bahkan memberdayakan pelajar untuk bersifat mandiri, berinisiatif dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran.

Peranan guru sebagai pemudah cara pembelajaran seperti diaspirasikan dalam sistem pendidikan negara juga akan dapat dicapai.

Dengan memasukkan elemen terbaik PdPR secara kekal ke dalam sistem pendidikan, guru mungkin boleh terus dibahagikan kepada kumpulan mengajar secara bersemuka atau secara dalam talian sepenuhnya.

Realitinya, tidak mudah untuk guru melakukan persiapan mengajar secara bersemuka dan PdPR pada masa sama kerana kekangan waktu serta tugas administratif lain. Malah, tidak semua guru mempunyai minat, kepakaran dan semangat untuk meneroka aplikasi pembelajaran dalam talian lebih mendalam.

Dengan pembahagian kumpulan ini, guru akan lebih fokus dengan apa yang boleh dilakukan, sekali gus tidak gusar dengan ketidakmampuan teknologi mereka. Pendidik terbabit dalam kumpulan sesi PdPR sepenuhnya pula boleh diberi kursus tambahan yang dapat menambahkan kepakaran dalam elemen terbaik PdPR, seterusnya boleh melatih guru lain pula.

Mekanisme pemantauan prestasi pelajar jika sesi PdPR dijadikan sebagai elemen tetap juga perlu dirancang dengan rapi. Contohnya, pelajar perlu menunjukkan pencapaian baik secara konsisten dan melepasi sesuatu ambang pencapaian ditetapkan untuk dibenarkan belajar secara PdPR.

Mereka perlu mencatatkan kehadiran cemerlang dan penyertaan aktif dalam kelas secara dalam talian atau teradun. Lebih penting, ibu bapa mesti menunjukkan bukti berkeupayaan membuat pemantauan berterusan kepada prestasi anak yang memilih belajar secara PdPR, tanpa mengharapkan guru melakukannya.

Jika berani membuat pilihan dan keberatan untuk membenarkan anak belajar secara bersemuka sepenuhnya di sekolah, mereka perlu bersedia menyingsing lengan dan terbabit aktif dalam pembelajaran anak.

Dunia pendidikan pasca pandemik kini berada di persimpangan sangat mengujakan dan ini satu-satunya peluang pada hayat ini untuk menetapkan semula hala tuju pendidikan anak, sekali gus memberikan situasi menang-menang kepada semua.

Setiap persimpangan memerlukan kita membuat pilihan. Marilah kita membuat pilihan memberikan peluang untuk menjadikan kehidupan ini lebih baik.

Penulis Mohamad Syafiq adalah Pensyarah Universiti Teknologi MARA Perak, manakala Mohd Haniff adalah Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Sumber: Berita Harian