Kajian Mendalam, Strategi Tangani Hakisan Pantai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sentiasa peka serta menjalankan kajian dan pendataan konsisten dalam menyelesaikan isu hakisan pantai bagi jangka masa pendek dan panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pihaknya menyarankan agensi-agensi yang berkenaan dalam mengurangkan masalah hakisan supaya melakukan kajian terperinci dalam bidang hidrolik dan pemulihan pantai atau ‘beach nourishment’.

“Berkaitan projek pemulihan hakisan, pantai kita agak panjang dengan jarak 244KM dari Besut sampai Kemaman, dengan waktu kemuncak ombak pada musim tengkujuh iaitu bulan November, Disember dan Januari.

“Kerajaan negeri dan persekutuan telah membina beberapa struktur seperti pemecah ombak (break water), t-groin dan pulau pesisir pantai (near shore island).

“Struktur sedemikian sememangnya berjaya dalam mengekang kerosakan pantai, namun kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menentukan kaedah terbaik di setiap kawasan terkesan termasuk di muara sungai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai usaha terkini, Dr Mamad memaklumkan, tiga pantai adalah dalam fokus membaikpulih.

“Untuk Pantai Teluk Lipat, projek pembinaan diusahakan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mengalami kekangan pada tahun 2014 dengan empat unit ‘headland’ dibina.

“Namun begitu, melalui ECER telah diluluskan kira-kira RM65 juta untuk menyiapkan penuh lapan ‘headland’ mengikut perancangan asal dan sekarang giat dalam proses pembinaan.

“Bagi Pantai Rusila iaitu di Pelabuhan Chendering sehingga Marang (6KM), pihak kementerian telah meluluskan RM15 juta untuk kerja awalan pemulihan pantai yang akan ditender pada tahun ini, bagi jangka masa panjang, Datuk Tuan Ibrahim mencadangkan peruntukan RM150 juta bagi pelan atasi kerosakan secara bersepadu,” katanya lagi.

Katanya lagi, kajian terperinci masih dijalankan untuk Pantai Kuala Nerus melibatkan peruntukan RM90 juta yang masih belum ditender.

“Di Mengabang Telipot, dengan kos RM6.2 juta sedang dalam proses pembinaan dan dijangka akan siap akhir bulan Ogos tahun ini,” jelasnya.

Sumber: TRDI News