Kajian mendapati kehadiran virus Covid-19 dalam najis, adakah virus itu dapat tersebar melalui kentut?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

UMUM mengetahui Covid-19 dapat tersebar melalui titisan daripada orang yang dijangkiti virus berbahaya itu.

Bagaimanapun, perbahasan mengenai sama ada virus itu boleh dijangkiti melalui najis kembali menjadi perbincangan apatah lagi China bakal melakukan ujian calitan pada bahagian dubur bagi mengesan kehadiran Covid-19.

Washington Post melaporkan sebahagian besar doktor di China menggunakan kaedah itu kerana pesakit yang sudah pulih didapati positif selepas pengambilan sampel daripada dubur dilakukan.

Ujian itu dibuat selepas ujian calitan pada hidung dan mulut didapati negatif.

Seorang pakar perubatan di Australia, Dr Andy Tagg pula mendakwa penularan wabak itu juga boleh terjadi melalui kentut kerana adanya virus dalam najis.

Persoalannya kini, adakah mungkin virus Covid-19 dapat menular daripada kentut?

Berdasarkan penemuan yang dilakukan Dr Andy, 55 peratus najis pesakit Covid-19 mempunyai virus itu. Kentut yang dilepaskan juga dikatakan mengandungi kotoran yang dapat menyebarkan bakteria dan virus.

“Ya virus itu dikesan dalam najis dan telah menjangkiti individu tanpa gejala sehingga 17 hari selepas terdedah kepada wabak itu. Mungkin ia boleh tersebar melalui kentut tetapi kita perlukan lebih banyak bukti mengenainya,” kata Dr Andy.

Bagaimanapun, kenyataan Dr Andy itu ditentang oleh pakar yang lain yang mengatakan kemungkinan seseorang itu terdedah kepada Covid-19 melalui penyebaran kentut adalah kecil.

Jelas pakar penyakit berjangkit, Dr Norman Swan pula, masyarakat tidak perlu khuatir kerana kentut terhalang oleh seluar yang dipakai.

“Biasanya kita akan pakai seluar dalam dan seluar, jadi ia seperti ‘masker’ yang menghalang kentut tersebar,” katanya.

Pusat pengendalian dan pencegahan penyakit di China juga berpandangan sama bahawa seluar adalah penghalang kentut yang mungkin membawa virus itu.

Sumber: mStar