‘Kalau Nak Bergaduh, Jangan Datang Stadium’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kalau pergi stadium sebab nak bergaduh, lebih baik duduk rumah tengok TV sahaja!

Itu nasihat legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail kepada segelintir penyokong Liga Malaysia (Liga M) yang mencetuskan kekecohan atau pergaduhan di dalam stadium.

Jamal menjelaskan, semua penyokong sepatutnya hadir ke stadium dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjadikan bola sepak sebagai hiburan.

Mengakui sukar untuk mengubah sikap penyokong yang membuat onar di stadium, beliau berkata kekecohan yang dicetuskan kumpulan penyokong terbabit akan merugikan banyak pihak terutama pasukan mereka sendiri.

“Kalau tujuan nak bergaduh, baik tengok TV saja. Jadi tidak menyusahkan pihak berkuasa dan tidak menyusahkan pasukan yang jadi tuan rumah sebab tuan rumah akan mendapat bala dari apa yang berlaku kerana mereka akan dikenakan denda.

“Kalau tanya saya, masalah ini tidak dapat diselesaikan selain daripada mentaliti kematangan setiap penyokong yang datang ke stadium. Mereka perlu matang, kalau ada provokasi jangan layan. Jika tak boleh terima provokasi atau apa-apa dari dari pihak lawan, tak payah pergi ke stadium,” katanya.

BH Sukan semalam melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah menerima laporan lengkap daripada komisioner perlawanan membabitkan insiden kekecohan penyokong dalam dua perlawanan Liga M, baru-baru ini.

Kekecohan penyokong berlaku ketika aksi Liga Perdana, Kelantan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, 10 Ogos lalu dan semasa perlawanan Liga Super membabitkan Melaka United berdepan Sri Pahang di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.

Selain itu, Jamal turut menasihatkan pengurusan kelab supaya mengeluarkan kenyataan yang boleh meredakan keadaan dan bukannya memanaskan lagi isu perbalahan antara penyokong.

“Tak boleh nak kata siapa mula dulu, bergaduh tetap bergaduh. Kita kena jadi matang, kematangan menunjukkan kebijaksanaan kita. Pengurusan kena bagi satu kenyataan yang meredakan keadaan bukan menambahkan lagi isu,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN