Kali Terakhir Kes Taun Di Kelantan Pada 2013

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kes taun atau kolera yang dicatatkan di Kelantan yang terakhir adalah pada 2013 iaitu satu kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam tempoh lapan tahun iaitu pada 2014 hingga tahun 2021 tiada kes taun yang direkodkan.

Katanya, kejadian mengenai kes penyakit bawaan air dan makanan di negeri ini tahun lalu adalah sebanyak 159 kes iaitu masing-masing 155 kes adalah keracunan makanan (KRM) dan empat demam kepialu atau tifoid.

“Pada 2019, sebanyak 914 kes yang membabitkan penyakit bawaan air dan makanan dicatatkan iaitu 899 KRM, 14 demam kepialu dan satu kes disentri.

“Penyakit ini berpunca daripada pencemaran air dan makanan yang diambil oleh pesakit yang menyebabkan gejala cirit birit, muntah atau demam.

“Justeru itu, kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan untuk mengelakkan jangkitan ini yang memberi kesan kepada tahap kesihatan sekiranya tidak dicegah daripada awal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, orang ramai perlu memastikan air yang diminum bersih dan dimasak terlebih dahulu dengan sempurna atau minum air yang dibotolkan.

Beliau berkata, sentiasa makan makanan yang dimasak dan masih panas. Jika ingin makan buah-buahan, kulit buah-buahan tersebut perlu dikupas terlebih dahulu. Elakkan juga makan makanan mentah.

“Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan sebagainya. Patuhi nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO