KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menjangkakan cabaran besar bakal dihadapi anak buahnya pada Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober ini.
Pengendali dari Korea Selatan itu menyifatkan semua pasukan yang menyertai kejohanan berkenaan termasuk India, Palestin dan Tajikistan sebagai pasukan yang kuat.
Justeru, beliau berkata Harimau Malaya boleh belajar sesuatu daripada Pestabola Merdeka dalam usaha membentuk skuad lebih mantap sebelum menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023, awal tahun hadapan.
“Semua pasukan bagus terutama India yang mana seperti kita tahu mereka satu pasukan yang sangat bekerja keras dan agresif. Saya fikir akan menjadi satu perlawanan yang sukar berdepan India.
“Namun, kami harus laluinya, ini cabaran buat kami dan kami tidak pernah menoleh ke belakang. Kami akan berjuang menentang India.
“Kami memandang ke hadapan untuk melangkah ke final dan kami juga akan berusaha untuk muncul juara buat peminat,” katanya selepas mengumumkan senarai pemain Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan itu, semalam.
Harimau Malaya akan menentang India pada aksi pertama Pestabola Merdeka, 13 Oktober ini manakala Palestin akan berdepan Tajikistan.
Sekiranya berjaya menewaskan India, skuad negara akan mara ke final untuk berdepan pemenang perlawanan antara Palestin dan Tajikistan pada 17 Oktober.
Meskipun mengumumkan senarai 25 pemain bagi menghadapi Pestabola Merdeka, Pan Gon bagaimanapun mengakui barisan kejurulatihan masih meneruskan pemantauan untuk memilih barisan terbaik bagi pusingan akhir Piala Asia nanti.
– BERITA HARIAN