KUALA TERENGGANU, 28 Januari- Berhubung penundaan tarikh sepak mula Liga Malaysia yang diumumkan Malaysian Football League (MFL), Ketua Pegawai Eksekutif (TFC) Ab Rasid Jusoh memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan tersebut.
“Tetapi, apabila mendapat perkhabaran pembatalan Piala FA, kita sendiri merasa terkesan kerana kehilangan saingan untuk satu lagi piala bagi tahun 2021.
Perkara ini berulang seperti tahun lepas apabila MFL turut membatalkan saingan piala FA 2020. Ia akan memberi kesan kepada pemain-pemain yang ada, apabila jumlah perlawanan menjadi berkurangan terutamanya pemain muda,” katanya melalui satu kenyataan yang diberikan kepada media-media Terengganu.
Jelasnya, ini kerana dalam bola sepak setiap perlawanan menjana pendapatan hasil daripada jualan tiket dan akan dikongsi dengan pemain.
Namun, menurut Ab Rasid, keputusan berkenaan tidak menjadi masalah besar setelah Terengganu FC berjaya memasuki saingan piala AFC tahun ini.
“Ini mungkin menjadi kelebihan kepada kita yang dapat bersaing pada peringkat Asia,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, menyifatkan tindakan MFL melakukan penundaan liga Malaysia ini adalah tindakan tepat.
“Pasukan dapat melakukan persediaan yang lebih lagi serta memberi fokus untuk liga. Ini kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemain tidak dapat turun sepenuhnya untuk melakukan latihan dan pada masa sama kami masih lagi mencari keserasian apabila hari ini Terengganu FC mengesahkan kehadiran Makan Konate, pemain yang berasal daripada Mali yang melengkapkan kuota pemain import kelima,” katanya.
Sumber: TRDI News