‘Kami Bimbang Berlaku Tanah Runtuh di sini Terutama Pada Waktu Malam’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Cerun yang terdedah di kiri dan kanan jalan berhampiran Kem Semur, di sini, membimbangkan orang ramai yang melalui laluan Gua Musang-Kuala Krai.

Difahamkan, cerun berkenaan dibuat syarikat kontraktor projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) sejak setahun lalu dan kini hanya ditutup dengan plastik kanvas yang sudah reput serta sesetengah kawasan sudah terdedah.

Keadaan itu membimbangkan pengguna jalan raya sekiranya berlaku runtuhan cerun yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Pengguna jalan raya, Taufiq Haikal, 24, berkata setiap hari dia menggunakan laluan itu untuk berulang alik ke tempat kerja di Bandar Utama Gua Musang.

“Keadaan cerun yang terdedah dan hanya ditutupi plastik kanvas yang sudah reput ini membahayakan pengguna jalan.

“Tambahan pula cuaca sekarang yang tidak menentu dengan hujan lebat pada waktu malam boleh menyebabkan berlakunya runtuhan cerun.

“Saya berharap pihak berkenaan lebih bertanggungjawab mengenai aspek keselamatan dalam projek mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hasliza Ibrahim, 32, pula berharap tindakan segera boleh diambil pihak berwajib dalam memastikan keselamatan pengguna laluan itu.

“Kita tidak mahu berlaku kemalangan membabitkan runtuhan cerun ini. Aspek keselamatan dan pengurusan cerun yang betul perlu dititik beratkan dalam semua projek pembinaan.

“Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan terutama membabitkan nyawa orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan Gua Musang, Zaharizam Johny, berkata projek terbabit kini dalam pemantauan dan pihaknya sudah mengeluarkan notis bagi menutup tanah yang terdedah.

“Khidmat nasihat mengenai aspek keselamatan dan pengurusan cerun sudah diberikan kepada pihak kontraktor. Malah, kontraktor juga mempunyai penasihat alam sekitar yang bertauliah untuk mengawal selia projek pembinaan terbabit.

“Pemantauan dari semasa ke semasa akan terus dilakukan pihak kami untuk memastikan aspek keselamatan diutamakan,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN