Kanada salur AS$70 juta bantu pelarian Palestin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kanada menyalurkan dana berjumlah AS$70 juta kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWRA) untuk Pelarian Palestin di sebalik krisis kewangan sedang dihadapi negara itu.

Dana yang nilainya setara dengan CAN$90 juta akan disalurkan selama tiga tahun untuk UNRWA menguruskan sekolah dan menyediakan perkhidmatan kesihatan selain bantuan kemanusiaan kepada kira-kira 5.7 juta pelarian Palestin.

Kementerian Luar Kanada menyifatkan usaha ini akan membantu golongan rentan pelarian Palestin di lima kawasan operasi UNRWA iaitu Tebing Barat, Gaza, Syria, Lubnan dan Jordan.

“Ia berupaya menjadi bantuan sokongan, selaras dengan peningkatan keperluan pelarian Palestin ini,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menambah, bantuan ini akan membolehkan lebih setengah juta kanak-kanak mendapat pendidikan selain berupaya membiayai lebih 140 klinik kesihatan.

Ia juga akan membantu bagi penyediaan tempat perlindungan dan makanan kepada pelarian miskin.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Antarabangsa Kanada, Karina Gould, berkata keperluan pelarian Palestin ini tidak boleh diabaikan walaupun ketika berdepan pandemik COVID-19.

“Mereka menghadapi kemiskinan, tiada bekalan makanan dan kadar pengangguran yang tinggi,” katanya.

Kanada di bawah pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau menyediakan semula bantuan itu pada tahun 2016 selepas dihentikan bekas Perdana Menterinya, Stephen Harper.

Sejak tahun 2016 hingga 2019, Kanada membelanjakan CAN$110 juta untuk membantu UNWRA selain menghulurkan sebanyak CAN$1.5 juta pada April lalu bagi membantu menangani penularan COVID-19.

Bagaimanapun, Israel selama ini menggesa UNWRA dimansuhkan kerana didakwa hanya meningkatkan konflik rejim itu dengan penduduk Palestin.