Kanak-Kanak Lima Tahun Dikhuatiri Lemas Jatuh Sungai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROMPIN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di kawasan perumahan dilanda banjir di Simpang Sepayang, Kuala Rompin di sini pada Isnin.

Mangsa, Rizq Ramadhina Jamaluddin dipercayai terjatuh ketika memancing bersama tiga lagi adik-beradiknya di sebuah jeti berhampiran rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, kejadian dilaporkan kira-kira jam 5.25 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Menurutnya, operasi SAR disertai 134 anggota pelbagai agensi termasuk, polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), tentera dan Pasukan Polis Marin.

“Turut membantu anggota dari Jabatan Perikanan, sukarelawan Jabatan Amal Rompin, Kelab Bencana Rompin dan penduduk kampung.

“Sebanyak 18 bot digunakan dalam operasi itu selain bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Mohd Azahari berkata, operasi pencarian turut dijalankan di dalam air dengan melakukan selaman di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Operasi pada Selasa ditangguhkan kira-kira jam jam 7 petang sebelum ia disambung hari ini (Rabu),” katanya.

– SINAR HARIAN