Kapsul Orion NASA kembali ke bumi selepas Artemis I terbang mengelilingi bulan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

FLORIDA: Kapsul Orion Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) yang tiada anak kapal sedang dalam pusingan akhir mengelilingi bulan dan kembali ke bumi hari ini, sekali gus menamatkan misi sulung program lunar Artemis, 50 tahun selepas pendaratan terakhir Apollo di bulan.

Kapsul Orion berbentuk gula-gula getah itu, membawa krew simulasi tiga model berwayar dengan pengesan, akan mendarat menggunakan payung terjun ke Lautan Pasifik kira-kira jam 9:39 pagi (waktu tempatan) berhampiran Pulau Guadalupe, di luar semenanjung Baja California, Mexico.

Orion menghampiri penghujung misi 25 harinya kurang seminggu selepas melepasi kira-kira 127 kilometer (km) di atas bulan dalam penerbangan lunar dan kira-kira dua minggu selepas mencapai titik paling jauh di angkasa, hampir 434,500km dari bumi.

Selepas membuang muatan modul perkhidmatan yang menempatkan sistem roket utamanya, kapsul itu dijangka memasuki semula atmosfera bumi pada kelajuan 39,400 kilometer sejam (km/j) atau lebih 30 kali ganda kelajuan bunyi untuk terjunan berapi selama 20 minit ke laut.

Orion berlepas pada 16 November dari Pusat Angkasa Kennedy di Cape Canaveral, Florida, di atas Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) generasi akan datang NASA yang menjulang tinggi, kini roket paling berkuasa di dunia dan terbesar dibina NASA sejak era Saturn V Apollo.

Pengembaraan pertama SLS-Orion, memulakan program pengganti Apollo, Artemis, yang bertujuan mengembalikan angkasawan ke permukaan bulan dekad ini dan mewujudkan pangkalan yang mampan di angkasa sebagai batu loncatan kepada penerokaan manusia di Marikh pada masa hadapan.

Secara kebetulan, kepulangan Artemis 1 ke bumi berlaku pada ulang tahun ke-50 pendaratan Apollo 17 di bulan oleh Gene Cernan dan Harrison Schmitt pada 11 Disember 1972.

Ia adalah yang terakhir daripada 12 angkasawan NASA yang berjalan di bulan daripada keseluruhan enam misi Apollo yang bermula sejak 1969.

Kemasukan semula ke bumi menandakan satu-satunya fasa paling kritikal dalam perjalanan Orion, menguji sama ada perisai haba dengan reka bentuk baharu itu akan menahan geseran atmosfera yang dijangka meningkatkan suhu di luar kapsul kepada hampir 2,760 darjah Celsius.

“Ia adalah satu objektif keutamaan kami.

“Tiada kemudahan arka-jet atau aeroterma di bumi yang mampu mereplikasi kemasukan semula hipersonik dengan perisai haba sebesar ini,” kata pengurus misi Artemis I NASA, Mike Sarafin pada taklimat minggu lalu.

Dalam satu lagi sentuhan baharu, Orion diprogramkan untuk menggunakan turunan ‘skip entry’ novel di mana kapsul itu meresap seketika ke bahagian atas atmosfera, terbang keluar dan masuk semula, suatu gerakan brek yang juga memberikan lebih kawalan dalam mengemudi kenderaan lebih dekat dengan sasaran percikan ke dalam air.

Pegawai NASA telah menekankan sifat eksperimen misi Artemis I, menandakan pelancaran pertama SLS yang dibina bersama Boeing dan yang pertama digabungkan dengan Orion, yang sebelum ini menjalankan ujian dua orbit ringkas yang dilancarkan pada roket Delta IV yang lebih kecil pada 2014.

Walaupun kapsul itu menghadapi beberapa gangguan komunikasi yang tidak dijangka dan masalah elektrik semasa pengembaraannya mengelilingi bulan, NASA memberikan markah tinggi kepada prestasi kedua-dua SLS dan Orion setakat ini, melebihi jangkaan agensi angkasa AS.

Jika Artemis I dianggap berjaya, penerbangan Artemis II akan mengelilingi bulan dan kembali tiba seawal 2024, diikuti dalam beberapa tahun akan datang dengan program pendaratan pertama angkasawan di bulan, salah seorang daripada mereka adalah wanita, dengan Artemis III.

Berbanding dengan Apollo, yang terhasil daripada perlumbaan angkasa lepas Amerika Syarikat-Soviet era Perang Dingin, Artemis lebih dipacu sains dan berasaskan skop luas, mendapatkan rakan kongsi komersial seperti SpaceX milik Elon Musk dan agensi angkasa Eropah, Kanada dan Jepun.

Ia juga menandakan titik perubahan utama untuk NASA, mengubah hala program penerbangan angkasa manusianya melangkaui orbit bumi rendah selepas berdekad-dekad tertumpu pada pesawat ulang-alik dan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). – REUTERS

Sumber: BERITA HARIAN