Kasa rangka peraturan dan akta kawal perubahan iklim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) sedang merangka peraturan serta akta bagi mengawal perubahan iklim dan pemanasan global yang melanda negara.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu diambil memandangkan Malaysia masih belum mempunyai akta berkenaan dan beberapa mekanisme dirancang untuk melaksanakannya.ADVERTISING

Katanya, antara inisiatif sudah dilakukan seperti Program Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui program terbabit, pemanasan global dapat dikurangkan dengan mewujudkan kawasan hijau, penggunaan lestari kepada kemudahan elektrik dan sebagainya.

“Kasa turut berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk memperkenalkan konsep Low Carbon Mobility, supaya kenderaan yang digunakan tidak banyak mengeluarkan karbon di masa hadapan.

“Alhamdulillah, setakat ini negara kita masih mempunyai 52 peratus hutan yang boleh membantu mengurangkan masalah pelepasan karbon yang boleh mengganggu perubahan iklim serta pemanasan global,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek kawasan tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menyertai persidangan antarabangsa yang diadakan di United Kingdom (UK) pada 26 November nanti, bagi membincang mekanisme setiap negara berkaitan isu pemanasan global.

Tuan Ibrahim (dua dari kiri) melawat tapak projek binaan benteng yang runtuh di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Tuan Ibrahim (dua dari kiri) melawat tapak projek binaan benteng yang runtuh di Kampung Pohon Celagi, di sini, hari ini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Tambahnya, implikasi pemanasan global jelas boleh dilihat apabila hujan yang tidak menentu melanda di sesetengah kawasan, contohnya kejadian yang berlaku di Yan, Kedah, yang meninggalkan kerosakan agak teruk.

“Selain itu, kita turut menggunakan kaedah merawat air kumbahan dengan mengitar semula untuk dihantar ke sektor perindustrian supaya dapat mengurangkan pengeluaran sumber air baharu sekali gus dapat memulihara alam sekitar.

“Setakat ini, negeri Melaka dan Selangor melaksanakan usaha mengitar semula air kumbahan berkenaan, manakala Johor sedang mempertimbangkan untuk turut sama mencuba inisiatif terbabit,” katanya.

Sumber: My Metro