Menyemarakkan kasih sayang sangat dituntut dalam Islam, kerana Allah SWT sentiasa mencurahkan kepada makhluk-Nya segala kasih sayang dengan memberi pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia. Kasih sayang Allah mengatasi kemurkaan-Nya.
Sebuah hadis Nabi SAW bersabda Allah memiliki 99 rahmat atau kasih sayang, manakala satu lagi adalah kasih sayang diberikan kepada buat makhluk di dunia.
Bagaimanapun, kadangkala manusia meletakkan dan mencurahkan kasih sayang bukan pada tempat sepatutnya dan tidak pada cara selayaknya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh, Allah melimpahkan rahmat-Nya, menanamkan dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang”. (Maryam, ayat 96)
Ayat ini menunjukkan paksi kepada berkasih sayang sebenar adalah keimanan kepada Allah dan rukun iman yang lain serta dibuktikan melalui amal soleh.
Ini bermakna, kasih sayang kepada makhluk perlu disandarkan kepada kasih sayang Allah SWT dan bukan mengikut hawa nafsu syahwat semata-mata.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW menganjurkan supaya sentiasa memberikan salam kepada muslim yang lain sama ada dikenali ataupun tidak sebagai tanda kasih antara sesama Islam.
Jika mengikut logik akal manusia, adalah tidak munasabah menegur orang tidak dikenali tanpa sebab, namun galakan menyebarkan salam ini menunjukkan rasa kasih dan percaya kepada muslim lain dengan memulakan komunikasi melalui kalimah berbentuk doa kepada saudara seagama.
Perlakuan ini adalah bukti perasaan ukhuwwah Islamiyyah dalam dirinya terhadap sesama muslim.
Selain itu, Rasulullah SAW turut menggalakkan perbuatan saling memberi hadiah sebagai tanda kasih sayang kepada seseorang. Baginda SAW bersabda; “Berilah hadiah sesama kalian, pasti kamu akan saling mengasihi”.
Memberi hadiah atau buah tangan adalah tanda kasih seseorang kepada saudaranya. Perbuatan ini menguatkan hubungan dan mengukuhkan rasa kepercayaan seseorang kepada saudaranya.
Jika seseorang kasih saudaranya, ia perlu menzahirkan perasaan itu dengan kata-kata yang jelas seperti ditegaskan Rasulullah SAW.
Hal ini menunjukkan perasaan kasih sayang bukan hanya perlu dibuktikan dengan perbuatan, bahkan digalakkan menzahirkannya dengan kata-kata.
Amalan ini wajar diamalkan antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan.
Islam juga mengajar umatnya saling menziarahi, sebagai tanda ingatan dan kasih sayang sesama umat.
Rasulullah SAW bersabda; “Kecintaanku yang mendalam kepada mereka menziarahiku”.
Ini bermakna, Baginda sangat menyukai perbuatan ziarah menziarahi sesama saudara Islam.
Jika terdapat halangan untuk berziarah secara fizikal, amalan saling berhubung serta bertanya khabar melalui media sosial juga boleh dilakukan.
Maka kemudahan ini perlu digunakan dengan optimum demi menghubungkan silaturrahim dengan sebaiknya.
Perkara yang paling sukar untuk dilakukan sebagai tanda kasih sayang terhadap sesama saudara Islam ialah saling menasihati ke arah kebaikan.
Perkara ini kemuncak kepada kasih sayang kerana Allah. Namun, perlu diingatkan apa juga nasihat perlu didahulukan dengan niat ikhlas kerana Allah.
Seseorang yang ingin menasihati perlu menggunakan cara bijaksana untuk menyampaikan nasihat tanpa menjatuhkan maruah atau membuka aib saudaranya. Begitu juga yang dinasihati, perlu bersikap terbuka menerima nasihat.
Hakikatnya, apa saja kebaikan yang dilakukan seseorang muslim kepada sesama makhluk adalah tanda kasih sayang yang wujud dalam dirinya. Hal ini termasuk kasih sayang terhadap haiwan dan alam sekitar.
Muslim yang sebenar bukan saja menitikberatkan kasih sayang sesama manusia, bahkan ia tidak meremehkan hubungannya dengan dua entiti ini, kerana manusia, haiwan dan alam sekitar adalah makhluk ciptaan Allah yang saling berkaitan untuk mengekalkan kemakmuran hidup di muka bumi.
Begitulah luas dan indahnya berkasih sayang dalam Islam dan tiada hari tanpa kasih sayang dalam kehidupan orang beriman.
Sumber: BERITA HARIAN