Kastam Pahang Berjaya Pintas Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM1.36 Juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya memintas cubaan penyeludupan rokok di laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) membabitkan rampasan bernilai RM1.6 juta.

Pengarah Kastam Negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata, hasil maklumat ampoma, pihaknya telah menahan sebuah lori di kilometer (KM) 220.5 LPT hala ke barat pada jam 9 pagi 20 Februari lalu.

Menurut Wan Apandi, pemandu lori yang menyedari kenderaannya diekori JKDM telah memberhentikan kenderaannya di tepi lebuh raya sebelum melarikan diri.

“Pemandu itu sedar kami mengekori lorinya dan terus melintas jalan menghilangkan diri.

“Dari pemeriksaan fizikal di tempat kejadian mendapati muatan yang dibawa adalah rokok disyaki barang larangan import,” kata Wan Apandi.

“Rokok putih yang disyaki barang larangan import yang dirampas sebanyak 2,040,000 batang atau 102,000 karton ini dianggarkan bernilai RM163,200, dan jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM1,362,720.

Nilai keseluruhan rampasan membabitkan sebuah lori dan rokok termasuk duti atau cukai adalah dianggarkan berjumlah RM1,580,920,” kata Wan Apandi lagi.

Modus operandi sindiket ialah menggunakan lori ‘bonded’ dan bergerak aktif pada waktu malam hingga awal pagi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Wan Apandi berkata kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan pihaknya masih menyiasat sumber bekalan barangan seludup itu yang dipercayai untuk dipasarkan di Pantai Barat.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol 1800-88-8855 atau di pejabat JKDM berdekatan.

– AWANI