Kastam Rampas Mercun, Rokok, Beras Seludup Bernilai Lebih RM600,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH –  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM667,471 menerusi 33 tangkapan sepanjang tempoh Op Badai dan Op Makmur II bermula 27 Mac hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata operasi tersebut dilaksanakan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Antara yang dirampas ialah 3.4 juta batang rokok bernilai lebih RM597,000, mercun berjumlah 1.32 tan bernilai RM26,309 dan beras sebanyak 4.98 tan bernilai lebih RM8,770,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op Badai dan Op Makmur II di Tok Bali Supply Base, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Sazali berkata cukai barangan dirampas itu ditaksirkan bernilai RM2.4 juta.

“Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.

— BERNAMA