Kota Bharu: Dua lokaliti di Kelantan dipilih bagi pelaksanaan Program Kawalan Denggi menerusi Projek Wolbachia dalam usaha menangani wabak denggi di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kawasan terpilih bagi projek itu ialah Pondok Terusan di Pasir Tumboh dan Kubur Maras, dekat sini.
“Nyamuk aedes berwolbachia adalah nyamuk aedes aegypti disuntik bakteria wolbachia, yang akan merencatkan keupayaan nyamuk itu menyebarkan virus denggi dan bakteria ini terdapat secara alami pada serangga lain.
“Projek dilaksanakan menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti di Selangor yang menunjukkan penurunan kes denggi sebanyak 50 sehingga 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, KKM membelanjakan RM120,000 atau 50 sen bagi seekor nyamuk aedes berwolbachia di setiap lokaliti dalam usaha memperkukuhkan aktiviti kawalan penyakit itu.
Bagaimanapun, katanya, nyamuk aedes berwolbachia hanya berkesan terhadap nyamuk aedes aegypti yang kebiasaannya membiak di dalam rumah, sebaliknya tidak memberi apa-apa kesan terhadap nyamuk aedes albopictus yang membiak di luar rumah.
“Oleh itu, orang ramai perlu memberikan kerjasama dengan memusnahkan tempat pembiakan di luar rumah secara berkala.
“Penduduk setempat turut diharapkan tidak mengalih atau mengganggu seperti membuang air atau memasukkan bahan pembunuh jentik di dalam bekas pembiakan nyamuk aedes berwolbachia atau dikenali sebagai release container.
“Aktiviti seperti pembabitan masyarakat, kawalan pra pelepasan, pelepasan telur nyamuk berwolbachia, ovitrap montoring dan data pemantauan frekuensi populasi nyamuk berwolbachia ini memerlukan komitmen semua pihak kerana tanpa kerjasama semua, projek ini sukar untuk dilaksanakan,” katanya.
Sumber: My Metro