KBS Gembira Permohonan Belanjawan 2024 ‘Tertunai’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA: Hampir semua permohonan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2024 ‘tertunai’ dan ia dilihat sebagai sesuatu yang positif bagi industri sukan tanah air.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihaknya gembira dengan Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang mengumumkan peruntukan membabitkan hampir keseluruhan aspek sukan dari program elit sehinggalah polisi cukai.

“Hampir kesemua ‘wish list’ KBS ditunaikan Kementerian Kewangan, jadi kita sangat gembira. Yang paling gembira adalah insentif cukai yang saya rasakan, ini adalah ‘game changer’ untuk industri sukan yang mana kategori baharu dibuka untuk membenarkan pelepasan bagi peralatan dan latihan sukan.

“Ini sangat penting untuk ibu bapa yang melabur duit simpanan setiap bulan bagi membolehkan anak mereka kekal aktif dan saya rasa apabila ada galakan, (contohnya) pelaburan seperti oleh ibu bapa sendiri ini, industri sukan akan dapat kemasukan wang yang banyak untuk tujuan latihan kanak-kanak.

“Malah, ini cara untuk kita ubah gaya hidup kanak-kanak supaya mereka suka bersukan dan apabila besar nanti, mereka akan teruskan,” kata Hannah dalam sidang media selepas sambutan HSN peringkat kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam, Anwar mengumumkan peruntukan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet dalam Program Podium termasuk RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan meraih emas pertama menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Anwar turut mengumumkan RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa selain RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaiktaraf kemudahan belia dan sukan di seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

Dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta akan diteruskan.

Kerajaan juga akan memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

Sebanyak RM30 juta turut diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama-sama bakat tempatan dalam usaha mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-sukan.

Dalam pada itu, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 dan pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

“Kalau tanya saya, berapa bajet kita nak… kalau tambah RM2 bilion pun tak cukup. Tapi untuk kitalah, kalau dibandingkan dengan kesihatan, pendidikan… memang bajet kita kecil tetapi apa yang kita minta adalah ‘game changer’ seperti polisi cukai.

“Seperti diumumkan, RTG juga menerima RM20 juta untuk tahun 2024. Kalau dibandingkan tahun ini, kita ada RM5 juta sahaja tetapi perlu diingat RTG bukan sahaja untuk Olimpik Paris 2024 tetapi juga Los Angeles 2028.

“Begitupun, persiapan dan perbincangan mengenai atlet akan diadakan dalam terdekat dalam (mesyuarat) jawatankuasa RTG. Samada ada atlet disingkirkan atau dimasukkan berdasarkan kelayakan atau pencapaian, itu akan dibincang dalam jawatankuasa nanti.

“Namun untuk RTG, memang ada pertambahan berbanding tahun ini, RM5 juta dan tahun depan pula kita ada RM20 juta,” katanya.

– BERITA HARIAN