KBS Komited Laksanakan LTdL Tahun Ini – Menteri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memastikan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan syarikat penganjur Human Voyage hari ini.

Ahmad Faizal juga memaklumkan, akan mengadakan perbincangan yang seterusnya bersama pihak PKBM selepas sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, bagi merungkai perkara yang perlu ditambah baik bersempena penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Beliau pada masa sama berharap agar syarikat besar dan korporat dapat menaja LTdL kali ini.

“Kita akan berkerjasama untuk mendapatkan penajaan LTdL ini…Saya juga harap pihak media dapat mempromosikan LTdL yang akan kita laksanakan pada kali ini, kerana ia adalah kejohanan yang dapat menempa nama di peringkat antarabangsa, serta akan ramai atlet daripada luar akan datang ke sini dan kenal dengan negara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan atlet dan jurulatih di sini.

Isnin lepas, KBS mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima permohonan rasmi daripada Human Voyage untuk menunda perlumbaan itu, yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 10 Mac kepada 18 hingga 26 Jun depan.

Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana LTdL 2022 dijadual berlangsung esok (27 Jan), untuk membincangkan perkara tersebut bersama-sama PKBM dan Human Voyage.

Sumber: BERNAMA