KDA FC Lepas Geram Ke Atas NSFC

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ALOR SETAR: Isu gaji tertunggak tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Kemenangan ini menjadikan mata terkumpul buat Sang Kenari yang kekal di tangga ketiga kini sebanyak 50 mata, hanya dibezakan dua mata selepas 23 perlawanan berbanding Selangor FC di tangga kedua pada 52 mata.

Pada aksi petang tadi, tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang NSFC menerusi pemain tengah Amirul Hisyam yang melakukan rembatan kencang di bahagian kiri gawang tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan.

Serangan berterusan tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pertama menerusi kapten pasukan, Manuel Ott pada minit ke-13 yang merembat kencang dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan Sikh Izhan.

Selang tiga minit, Kedah terus garang dengan menambah jaringan menerusi pemain import kelahiran Tajikistan, Amirbek Juraboev yang menolak bola hantaran Ifedayo Olusegun.

NSFC cuba bangkit menerusi dua percubaan pada minit ke-28 oleh Filemon Anyie dan diikuti percubaan depan gol oleh pemain pertahanan, Zamri Ramli selang beberapa minit kemudian, namun menghasilkan gol.

Sebaik bermula babak kedua, Kedah terus menekan kubu NSFC dan usaha mereka berhasil apabila penyerang utama, Ifedayo Olusegun berjaya menyempurnakan gol ketiga pada minit ke-53 dengan menolak bola hantaran lintang Manuel Ott.

– BERITA HARIAN