KDN ‘Impikan’ Dron Untuk Mantapkan Kawalan Sempadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang memantapkan kawalan sempadan negara menggunakan teknologi dron seperti amalan beberapa negara lain.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kaedah itu adalah impian kementerian dan perancangan mengenainya sudah dibuat.

Katanya, kawalan sempadan negara harus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini dan inovasi semasa seperti penggunaan dron.

Beliau berkata kawalan sempadan tidak boleh lagi dijalankan dengan ‘gaya lama’.

“Kawalan sempadan sudah tidak boleh dibuat gaya lama (contohnya) buat pagar, letak pos keselamatan manakala gaya baru mesti seiring dengan teknologi dan impian kami adalah untuk bergerak ke arah itu.

“Untuk penggunaan teknologi dron, memang menjadi impian kami dan ada dalam perancangan tapi kena melalui permohonan, ‘rolling plan’ di bawah Kementerian Kewangan (MoF),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

Beliau ditemui dalam rangka kerja sempena Program KDN Madani di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, di sini, sambil diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Saifuddin berkata, tinjauan dilakukan di Sungai Golok berikutan ia menjadi laluan penting pergerakan keluar masuk rakyat antara kedua buah negara namun turut menyumbang kepada isu penyeludupan.

Katanya lagi, meskipun sungai yang sepanjang 130 kilometer (km) bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke hulu Jeli itu mempunyai sejarah sama ada membabitkan hubungan kekeluargaan atau persahabatan antara rakyat negara ini dan Thailand namun ancaman terhadap isu keselamatan tetap berlaku.

“Dari sudut sejarah, penduduk kedua-dua negara ini terutama Kelantan, ada sejarah kekeluargaan dan persahabatan yang panjang mungkin membawa ke ratusan tahun, jadi Sungai Golok ini jadi penghubung.

“Semakin masa beredar, sungai ini mencetuskan isu keselamatan kerana menjadi laluan kepada aktiviti penyeludupan dan daripada taklimat yang diberikan, antara ancaman itu termasuklah laluan penyeludupan dadah, manusia dan senjata selain barangan kawalan.

“Sememangnya Sungai Golok memerlukan tumpuan khusus dari segi jaminan keselamatan kerana terdedah dengan pelbagai ancaman,” katanya.

– BERITA HARIAN