KDYMM Pemangku Raja Pahang Berkenan Rasmi Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022.

Baginda yang berangkat tiba pada 7.45 pagi turut berkenan menyertai larian Fun Run sejauh lima kilometer bersama hampir 2,000 peserta lain.

Hadir sama, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; dan Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker.

Baginda yang tiba ke garisan penamat pada 8.15 pagi kemudiannya berkenan melancarkan gimik perasmian karnival dengan mengayuh basikal yang diiringi oleh YAB Menteri Besar Pahang dan YB. Timbalan Menteri KBS.

Seterusnya baginda bercemar duli melawat gerai-gerai pameran daripada badan-badan kerajaan dan swasta sebelum berkenan menyampaikan surat tawaran kerja kepada lima individu.

Sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh KBS bersama Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Pertubuhan Sejahtera Anak Malaysia (PERSAMA) selama tiga hari bermula semalam sehingga 17 Julai di Padang Kemunting.

Antara acara yang disediakan sepanjang karnival ini adalah Fun Run dan Fun Ride, pertunjukan sukan permotoran, futsal padang serta pameran dan peluang kerjaya.

Sumber: PAHANG MEDIA