KDYMM Pemangku Raja Pahang Dukacita Dengan Kejadian Buli Di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkankan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli yang berlaku di sekolah baru-baru ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bertitah kejadian seumpama ini tidak seharusnya berlaku sama sekali.

“Beta berasa kesal dan dukacita terhadap tiga kejadian kes buli yang berlaku di daerah Rompin, Maran, dan Lipis baru-baru ini. Sesungguhnya kejadian buli ini tidak seharusnya berlaku sama sekali.

“Kepada Jabatan Pendidikan Negeri, beta mahu langkah segera diambil bagi memastikan kawasan sekolah sentiasa berada dalam keadaan yang selamat untuk anak bangsa kita menuntut ilmu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Turut hadir, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Baginda turut meminta ibu bapa supaya memberi peringatan dan nasihat kepada anak-anak supaya tidak terlibat di dalam perbuatan sedemikian.

“Ibu bapa juga perlu memberi peringatan dan nasihat tanpa jemu kepada anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti membuli rakan-rakan lain.

“Pentadbir sekolah perlu kerap mengadakan program-program kesedaran, keagamaan, dan pendidikan sivik untuk menerapkan nilai positif dalam diri setiap pelajar,” titah baginda.

Baginda juga turut meminta Kerajaan Pahang kekal mempelihara alam sekitar, flora dan fauna dalam menuju ke arah negeri maju.

“Usahlah memikirkan keuntungan yang berganda tetapj hanya sementara, kerana alam ini terlalu mahal harganya untuk dibayar anak cucu kita.

“Justeru, rancanglah pembangunan dengan bijaksana dan berhemah. Tidak semua tempat perlu dibangunkan pencakar langit, dan hutan batu.

“Janganlah kerana terlalu mengejar pembangunan, kita lalai dan alpa sehingga mengorbankan kawasan alam sekitar yang sangat berharga ini,” titah baginda.

Baginda turut menyeru semua jabatan di negeri ini supaya meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan berkaitan prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus yang baik (ESG).

Bagi juga turut melahirkan sokongan terhadap usaha Kerajaan Pahang meningkatkan kawasan hutan di negeri ini kepada 60 peratus daripada keluasan negeri ini.

Sumber: PAHANGMEDIA