BENTONG : Nasib mangsa kebakaran di Kampung Baru Cina, Karak di sini mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda hari ini berkenan berangkat melawat mangsa kebakaran di kampung berkenaan yang berlaku pada malam 1 Oktober lalu.
Dalam kunjungan berkenaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melawat sekitar tempat kejadian kebakaran yang menyebabkan kemusnahan rumah dan kedai itu.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada mangsa yang terlibat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bentong, YH Dato’ Mohd Zulkifli Hashim dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak.
Sebelum ini media melaporkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Tuan Wan Mohd Zaidi Wan Isa, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 9.20 malam dan sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak dikejarkan ke lokasi.
Bagaimanapun, katanya, situasi kebakaran yang membabitkan banyak premis memaksa pasukan bantuan dari BBP Mentakab, BBP Bentong dan BBP Temerloh turut dikejarkan ke lokasi untuk mengawal api daripada terus merebak, seterusnya memadam kebakaran.
Sumber: PAHANGMEDIA