KDYMM Pemangku Raja Pahang Sangat Prihatin Dalam Usaha Pemuliharaan Alam Sekitar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Keprihatinan tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat terserlah dalam hal-hal bersangkutan usaha mengutamakan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar khususnya di Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebab itulah, sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kawasan lebih 2,000 hektar sebagai tambahan kepada kira-kira 4,600 hektar di sekitar Tasik Chini, diluluskan sebagai Hutan Simpanan Kekal Chini.

“Peluasan ini juga dapat memberi keberkesanan lebih tinggi, kepada usaha untuk menepati kehendak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNESCO.

“Yang terkini, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku turut meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri melibatkan sempadan Pahang dengan negeri-negeri berjiran – Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persembahan Ucapan Ikrar Taat Setia Sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

Turut hadir, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Beliau berkata, dengan ini, Tanah Kerajaan di kawasan-kawasan sempadan terlibat seluas 557.585 hektar atau garis sempadan sepanjang 26.806 kilometer telah dikenal pasti untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga, berkaitan Tanah Milik di kawasan terlibat, jika terdapat sebarang cadangan pembangunan yang hendak dilaksanakan dalam jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilakukan berdasarkan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA