Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menziarahi mangsa ribut di Balok.
Dalam sesi ziarah itu, KDYMM Tuanku turut berkenan mengurniakan sumbangan daripada Baginda dan juga daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada mangsa bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Mereka yang menerima kurniaan tersebut terdiri daripada 57 ketua isi rumah dan 9 pemilik premis perniagaan. Turut hadir mengiringi KDYMM Tuanku ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, YB. Dato Saifuddin Abdullah; Ahli Dewan Negeri Beserah, YB. Andansura Rabu; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah dan Timbalan Ketua Polis Pahang, YDH DCP Dato’ Yusri Hassan.
KDYMM Tuanku turut meluangkan masa hampir sejam meninjau kerosakan rumah mangsa selain menitahkan nasihat agar semua mangsa bersabar menghadapi dugaan ini.
Pada 25 Mac lalu, sebanyak 66 buah premis di kawasan Balok Maju, Balok Darat, Balok Pantai dan Balok Baru di sini rosak dalam kejadian rebut.
Dalam kejadian antara jam 5 hingga 6 petang itu sebanyak 57 buah kediaman dan 9 buah premis perniagaan (kedai dan bengkel) rosak pada bahagian bumbung akibat diterbangkan ribut.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.
Sumber: PAHANGMEDIA