KUANTAN – Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila mencatatkan hanya 35 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini, berbanding 221 orang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, kesemua mangsa terbabit ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular di daerah ini.
“Bagaimanapun, jumlah mangsa di PPS SK Sungai Ular tersebut mencatatkan peningkatan berbanding 30 orang semalam.
“Sementara itu, tujuh PPS ditutup iaitu PPS SK Sungai Karang, SK Beserah, SK Pelindung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung, Balai Raya Bukit Kuin 1, Surau Chendor dan SK Cherating,” katanya.
PPS SMK Pelindung, PPS Balai Raya Bukit Kuin 1 dan PPS Surau Sungai Chendor ditutup pada Isnin lalu manakala PPS SK Sungai Karang, SK Beserah dan PPS SK Pelindung ditutup semalam.
Sumber – AWANI