Keadaan mangsa tembakan di Marang stabil

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Lelaki yang parah selepas ditembak jirannya dalam kejadian di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, semalam dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, mangsa berusia 45 tahun itu sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.

Menurutnya, lelaki itu yang parah di dada sebelum ini dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, namun dipindahkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, keadaan mangsa stabil, manakala proses bedah siasat yang dijalankan terhadap bapa saudaranya yang maut dalam kejadian sama selesai kira-kira jam 4 petang semalam.

“Mayat mangsa akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 56 tahun tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipercayai menggunakan senapang patah.

Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang cedera di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya parah di dada akibat terkena tembakan sama.

Sumber: My Metro