KUALA TERENGGANU – Kemeriahan membuat persediaan Aidiladha yang akan disambut Ahad ini bertukar hiba buat 20 penduduk di Kampung Panji, di sini selepas kediaman mereka musnah dijilat api pada Jumaat.
Dalam kebakaran kira-kira jam 11.15 pagi itu, tiga buah rumah musnah seratus peratus manakala sebuah lagi mengalami kerosakan hampir 25 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata sejurus menerima panggilan, seramai 23 kekuatan anggota bomba bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Ketika tiba, katanya api sedang marak membakar kediaman berkenaan dan jarak rumah yang terlalu hampir serta ketiadaan akses menyebabkan pihaknya sukar melakukan operasi pemadaman.
“Keadaan rumah begitu hampir antara satu sama lain dan kita juga mengalami masalah apabila ketiadaan akses dan terpaksa meletakkan jentera di luar.
“Operasi pemadaman ini juga terpaksa menggunakan air parit yang terletak kita-kira 700 kaki dari lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Bagaimanapun Rozizah berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran sekitar jam 12.51 tengah hari daripada terus merebak.
Jelasnya tiada mangsa yang terlibat dalam insiden itu dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sumber: AWANI