Kebun buluh lemang hasil pendapatan lumayan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Enam tahun lalu, tindakan Lailawati Ahmad dari Kampung Buntut Pulau, dekat sini mengusahakan tanaman buluh lemang di tanahnya seluas, 0.8 hektar mungkin dianggap tindakan sia-sia kerana ia bukan tanaman komersial.

Namun usaha Lailawati, 48, kini dianggap berbaloi apabila permintaan terhadap buluh lemang sentiasa meningkat terutama di bulan Ramadan.

“Walaupun baru seminggu umat Islam berpuasa, tempahan buluh lemang melebihi 2,000 batang setakat ini dan saya jangka tahun ini permintaan terhadap buluh lemang akan meningkat berbanding tahun lalu.

“Tahun lalu saya dapat menjual lebih 10,000 batang buluh lemang walaupun beraya dalam musim Covid 19,” katanya.

Lailawati menjangkakan pada tahun ini, permintaan buluh lemang akan meningkat kerana turut mendapat tempahan dari luar Pahang, khususnya pada minggu akhir bulan Ramadan.

Katanya, selain digunakan untuk membakar lemang, buluh terbabit turut digunakan untuk menghasilkan nasi briyani buluh.

“Disebabkan buluh milik saya tidak mencukupi, saya turut mendapati bekalan daripada masyarakat Orang Asli di sekitar Temerloh dan Bentong.

“Saya menjualnya dengan harga RM1.20 bagi satu ruas tanpa daun pisang dan RM 2 jika lengkap dengan daun pisang,” katanya.

Selain menjual buluh lemang, dia turut menjual lemang dengan jenama Lemang Bismillah di Pekan Sehari Temerloh setiap hari Ahad.

Katanya, untuk Ramadan ini, dia menjual lemang itu di Bazar Ramadan Lurah Semantan setiap hari dengan harga RM10 hingga RM15 sebatang bergantung kepada saiz buluh.

Sumber: My Metro