Kecederaan Chilwell Bayangi Kemenangan Chelsea

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – England tampak akan ke Piala Dunia tanpa Ben Chilwell selepas pertahanan kiri itu mengalami kecederaan hamstring ketika Chelsea menang 2-1 mengatasi Dinamo Zagreb awal pagi tadi.

Denis Zakaria menjaringkan gol kemenangan pada penampilan pertama bersama Chelsea ketika skuad Blues bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan juara Croatia itu.

Namun malam itu menjadi suram buat Chelsea dan England apabila Chilwell perlu dibantu keluar dari padang pada penghujung aksi yang tampak boleh menggangu harapannya ke Qatar.

“Ia tidak nampak positif. Ia kecederaan hamstring,” kata bos Chelsea, Graham Potter.

“Kami akan membuat ujian imbasan untuk melihat keadaanya.”

Chilwell, yang sudah mengumpul 17 kaps buat skuad Three Lions, menjadi sebahagian pasukan yang mara ke final Euro 2020.

England membuka kempen berdepan Iran kurang tiga minggu lagi iaitu pada 21 November.

Zagreb pula perlu bermati-matian di Stamford Bridge dengan Chelsea sudah memastikan tempat teratas Kumpulan E Liga Juara-Juara.

Sumber : BERITA HARIAN