NEW YORK – Rafa Nadal berharap dia akan bersedia untuk kejohanan sengit di Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas kurang beraksi berikutan kecederaan perut yang serius di Wimbledon.
Juara 22 kali Grand Slam itu terpaksa menarik diri daripada aksi separuh akhir berdepan Nick Kyrgios di All England Club tahun ini dan memberitahu wartawan hari ini bahawa dia sedang menjalani pemulihan untuk cabaran yang besar itu.
“Ia kecederaan yang teruk kerana ia bahaya, ia berisiko. Apabila anda ada parut, ia adalah tempat anda berikan tekanan yang banyak ketika melakukann servis,” kata Nadal yang diletakkan sebagai pilihan kedua.
“Anda perlu cari kestabilan sekali lagi kerana jika anda ada parut di sana, pada permulaan ia sukar dilakukan… Risiko akan kembali cedera boleh berlaku apabila melakukan pergerakan penting di bahagian yang tidak lagi seperti sebelumnya, risikonya lebih tinggi.”
Pemain Sepanyol itu menarik diri daripada Montreal sebelum tewas perlawanan pembukaan di Cincinnati kepada Borna Coric, yang memberi bayangan usaha sukar akan dilaluinya dalam usaha mencari gelaran kelima di Flushing Meadows.
Pemain berusia 36 tahun itu yang akan bersaing pertama kali di Terbuka AS dalam tiga tahun, berkata dia lebih berhati-hati dalam kejohanan pemanas badan di gelanggang keras dan ‘melakukannya dengan cara terbaik saya boleh lakukan.
Sumber : BERITA HARIAN