“Doktor, saya mudah dapat ulser mulutlah!”
Memang susah nak makan dan bercakap apabila terjadinya ulser atau mata ikan di dalam mulut. Tambah pula di dalam musim perayaan ini, pastinya ramai dalam kalangan anda yang akan menjamu selera tidak kira waktu bukan? Jadi, apakah sebabnya terjadi ulser yang sangat menyakitkan ini walaupun anda sudah minum air dengan banyak? Ini penjelasan pakar dan cara untuk merawatnya dengan cepat supaya anda boleh kembali menjamu selera seperti sediakala!
PUNCA TERJADINYA ULSER MULUT
Ulser mulut juga dikenali sebagai serawan, guam, atau mata ikan ini adalah luka pada mukosa mulut. Biasanya terjadi pada bahagian dalam bibir, dalam pipi dan juga di permukaan lidah. Lukanya kecil, tapi ia sangat pedih, kan? Berikut adalah beberapa punca-punca yang telah dikenalpasti boleh menyebabkan berlaku ulser pada mulut:
– Stress
– Dehidrasi
– Jangkitan virus
– Perubahan hormon
– Kekurangan vitamin B, C dan E.
– Penjagaan mulut yang kurang baik
– Tergigit mukosa atau luka memberus gigi
– Penggunaan gigi palsu atau pendakap gigi
NAK CEPAT PULIH? INI PILIHAN UBAT YANG BOLEH ANDA BELI
Secara umumnya, tanpa rawatan, ulser mulut akan pulih sendiri dalam masa 1-2 minggu. Namun ada beberapa ubat yang boleh digunakan untuk mempercepatkan pemulihan ulser mulut ini. Ubat-ubat ni boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi doktor.
1. UBAT GEL
Ubat ini biasanya mengandungi bahan aktif bersifat anti-keradangan, antiseptik dan analgesik(tahan sakit). Ia adalah pilihan yang amat popular di kalangan para pengguna.
Contoh ubat:
– Muco-Aid
– Oral Aid
– Bonjela
– Gingival Gel
2. UBAT PES
Ubat jenis ini memberi pelindungan dengan membentuk lapisan yang menutupi luka (ulser), dan sesetengahnya mempunyai kualiti anti-radang untuk mengurangkn sakit dan bengkak. Contoh ubat:
– Keno
– Oralon
– Difflam Forte
3. UBAT KUMUR
Ubat jenis ini mengandungi antiseptik untuk mengekang jangkitan dan pertumbuhan bakteria dalam mulut. Ia juga memudahkan proses membersihkan mulut ketika kehadiran ulser. Contoh ubat:
– Oradex
– Hexidine
– Bactidol Mouthwash
Tak tahu nak pilih yang mana satu? Jangan risau, boleh tanya farmasis di farmasi tu. Mereka akan beri penerangan lanjut dan cadangan sesuai.
Selain ubat, boleh cuba juga amalkan tip-tip di bawah ni untuk mengelakkan berlaku ulser di dalam mulut:
– Minum air secukupnya (2 liter sehari)
– Urus stress dengan baik
– Tidur secukupnya
– Memberus gigi selepas makan
– Pastikan gigi palsu dalam keadaan baik dan bersih
– Hindari pendakap gigi palsu (fake braces)
– Makan sayuran/buah yang kaya dengan vitamin
– Berhenti merokok
*Jika ulser ini tidak sembuh melebihi tiga(3) minggu, dapatkan pemeriksaan doktor. Ada beberapa kemungkinan lain boleh menyebabkan ia berlaku seperti masalah autoimmune, syphilis, Crohn’s disease, HIV, kanser dan lain-lain.
Sumber : Sirap Limau