SUNGAI PETANI — Kedah mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM20 bilion pada suku kedua tahun ini dan merupakan angka tertinggi di Malaysia setakat ini.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata jumlah tersebut mengatasi sasaran sebanyak RM10 bilion yang ditetapkan kerajaan negeri untuk sepanjang tahun ini.
“Kedah mempunyai aliran pelaburan asing dan domestik yang kukuh dan kehadiran pelabur telah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri selain turut mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Setakat suku kedua pada tahun 2022, Kedah hampir pasti menerima RM20 bilion nilai pelaburan pada tahun ini, pada waktu ini adalah pelaburan tertinggi di Malaysia,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Projek Loji Melamina Zon Industri Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd di Gurun dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Group Bhd Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata pelaksanaan projek loji melamina itu bakal mengukuhkan lagi kawasan perindustrian Gurun sebagai sebuah zon pengeluar bahan kimia khusus bertaraf antarabangsa di rantau Asia Tenggara.
Katanya projek tersebut sangat penting dan amat membantu dalam usaha kerajaan negeri membangunkan ekonomi negeri terutamanya dalam sektor industri minyak dan gas serta petrokimia.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan keputusan Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) untuk terus melabur di sini dan memajukan lagi Taman Perindustrian Gurun di sini.
“Saya difahamkan apabila ia siap nanti, PCG akan menjadi pengeluar melamina tunggal di Asia Tenggara dan kilang ini akan meletakkan negeri Kedah dan Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh di rantau ini,” katanya.
Loji melamina tersebut dijangka akan memulakan operasi pada 2024 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 tan setahun.
Sumber: BERNAMA