Kedah mungkin ke fasa kedua PPN tak lama lagi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Alor Setar: Kedah dijangka mampu beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi apabila beberapa usaha untuk memenuhi nilai ambang sedang dilakukan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, antara usaha terbabit adalah mempertingkat program pemberian vaksin kepada rakyat mengikut bekalan yang diterima.

Jelasnya, selain itu Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) turut akan digerakan bagi memberi vaksin kepada golongan pekerja industri di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.

“Mungkin Kedah tidak lama lagi akan masuk fasa kedua PPN selepas Sabah kerana kita sudah mencapai jumlah vaksinasi lengkap lebih sembilan peratus.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga sedang dilaksana membabitkan kluster industri terutama di Sungai Petani yang pastinya dapat mengawal penularan Covid-19 dan memutuskan rantaian virus di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis beralih ke fasa kedua PPN berkuatkuasa semalam, apabila berjaya memenuhi semua nilai ambang termasuk mencatat liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus dalam kalangan penduduknya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) turut akan memastikan pesakit Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri ini berkurangan ke paras sederhana bagi mencapai nilai ambang ditetapkan kerajaan.

Sumber: My Metro