Kedah Sambar Ifedayo

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kedah Darul Aman (KDA) FC menambah sengat mereka di jentera serangan apabila berjaya mengikat bekas penggempur berbisa Liga Malaysia (Liga M), Ifedayo Olusegun untuk baki musim 2023.

Perkembangan itu diumumkan skuad Kenari menerusi satu kenyataan yang mengesahkan pemain itu berstatus ejen bebas selepas tidak terikat dengan mana-mana pasukan tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun itu memiliki kerakyatan Bahrain dan bakal didaftarkan sebagai pemain kuota Asia pasukan terbabit.

“Kelibat Ifedayo tidak asing di Liga Malaysia. Dengan pengalaman bersama FELDA United, Melaka dan Selangor antara faktor pilihan pengurusan memudahkan beliau untuk segera mencari keserasian dengan rakan sepasukan di kem Sang Kenari.

“Reputasinya jelas mengagumkan apabila dinobat selaku pemegang Kasut Emas bagi dua tahun berturut-turut, penjaring terbanyak Liga Super di musim 2020 dan 2021 dengan jumlah 38 gol (12 gol musim 2020, 26 gol musim 2023), sehingga digelar ‘King Dayo’ ketika bersama Selangor FC,” kata KDA FC.

Justeru, skuad kendalian Nafuzi Zain mengharapkan kehadiran Ifedayo dapat membantu pasukan itu mencipta lebih banyak kejayaan dan memperbaiki kedudukan keempat yang dihuni mereka dalam Liga Super ketika ini.

“Walaupun ini bukanlah kali pertama beliau menjejak bumi Hijau Kuning dan pernah menjadi duri dalam daging menghampakan ribuan penyokong dengan ketajaman tandukan dan rembatannya.

“Kali ini memakai jersi Hijau Kuning untuk memburu kejayaan baru buat pasukan Sang Kenari,” katanya.

– BERITA HARIAN