Tidak ramai yang mengetahui bahawa Kerajaan Aceh merupakan sebuah kuasa besar di nusantara sehingga negaranya mampu mengalahkan Portugis suatu ketika dahulu. Kota Aceh mempunyai kedudukan yang sangat strategik yang mana terletak di antara dua benua iaitu benua India dan Pasifik serta berlokasi di kawasan utara Selat Melaka. Aceh juga jaguh di lautan sehingga menguasai 70 peratus laluan perdagangan di Alam Melayu.
Kerajaan Aceh merupakan produk kemajuan yang terhasil dari pusat penyebaran Islam dan budaya Melayu yang dirintis oleh Kerajaan Samudera Pasai (1250-1524M). Kesultanan Aceh Dar al-Salam (1524-1900M) yang mendapat gelaran Serambi Mekah menjadi pusat yang baru menggantikan kedudukan Kerajaan Samudera Pasai dan Kesultanan Melayu Melaka.
Wujudnya Acheh sebagai tamadun yang tinggi kerana wujudnya keamanan dan kestabilan politik dalam negara. Menurut Jelani Harun , Aceh pada waktu itu merupakan satu bangsa yang paling berkuasa di dunia Melayu dan Hindia Timur, berikutan penguasaannya ke atas kebanyakan pelabuhan yang wujud ketika itu. Ramai pedagang beragama Islam yang datang dari luar negara berdagang ke negeri Acheh misalnya bangsa Arab, India, Turki, Arakan, Pegu, Siam, Kedah, Bruas dan Parsi datang ke Aceh pada pertengahan abad ke 16M. Bahkan terdapat juga pedagang yang datang dari Costantinople, Venice, Aleppo, Perancis, Denmark, Belanda, dari kawasan Laut Merah dan China.
Perkembangan Acheh Sebagai Pusat Peradaban
Kehebatan Negara Acheh tidak lain dan tidak bukan kerana junjungan mereka terhadap agama begitu tinggi. Bahkan sehingga kini, Acheh masih lagi dikenali sebagai bumi ilmu. Menariknya, Acheh juga bukan sahaja diperintah oleh pemerintah lelaki, namun turut pernah ditadbir oleh pemimpin perempuan yang salah satunya ialah Ratu Tajul Alam Safiatuddin (1641-1675). Ini menunjukkan terbukanya sistem pentadbiran sehingga Acheh menerima perempuan menjadi pemimpin.
Kerajaan Acheh yang terkenal tidak dapat tidak turut dipengaruhi oleh budaya ilmu dan institusi keilmuan yang melanda negeri tersebut sehingga ramai Ulama yang muncul dari Acheh serta banyak kitab yang dihasilkan pada zaman tersebut masih terdapat sehingga ke hari ini. Sebagai sebuah kerajaan Islam, banyak masjid dibina antaranya seperti Masjid Bait al-Rahman dan Bait al-Musyahadah. Di setiap pelusuk kampung ada masjid dan biasanya ia bersaiz sederhana besar.
Bahasa rasmi yang dipakai dalam Kesultanan Aceh Dar al-Salam di abad ke 16M pula adalah bahasa Aceh, Melayu dan Arab. Dengan perkembangan ilmu agama yang tinggi sehingga dasar Islam menjadi pegangan kerajaan, ia telah menarik ramai Ulama untuk singgah ke Kerajaan Acheh. Bumi Aceh juga dihuni oleh ramai ulama ahl al-Bait.
Selain itu juga, banyak sekolah dan pusat pendidikan Islam yang dikenali sebagai ‘dayah’ didirikan berteraskan ajaran islam dan diajar pelajaran yang diajar menggunakan bahasa arab. Bahasa arab dijadikan sebagai bahasa komunikasi antara ulama, bahasa pengantar pada dayah-dayah di tingkat menengah atas, bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa penghubung antara negara-negara Islam. Oleh itu, tidak hairan Ulama seperti Nuruddin Al-Raniri yang terkenal di Acheh mampu menghasilkan buku yang berbahasa arab sepenuhnya.
Semasa zaman pemerintahan sultan Iskandar Muda dalam Kerajaan Aceh Dar as salam, telah muncul sejumlah ulama dan pengarang yang menyusun berbagai kitab dalam bermacam ilmu pengetahuan, baik dalam bahasa Melayu maupun bahasa Arab, kitab-kitab karangan mereka meliputi bidang ilmu fiqh, tauhid/falsafah, tasawuf, akhlak, ilmu falak, mantiq, sejarah Islam dan bahasa Arab.
Kitab-kitab ini dijadikan sebagai bacaan di sekolah sekolah untuk pelbagai tahap pendidikan, baik meunasah, rangkang, dayah, teungku chik, ataupun di Jami’ah Baiturrahman. Dan kitab-kitab mereka dipergunakan sebagai buku pelajaran agama Islam di seluruh kepulauan nusantara yang berbahasa Melayu. Perkembangan ilmu ini menunjukkan bahawa Acheh sebenarnya diibaratkan sebagai kota intelektual di Alam Melayu sehingga mencapai skala antarabangsa berikutan ramainya penuntut ilmu serta pengajar yang datang ke negeri Acheh.
Dengan memahami sejarah ini, fahamilah kita bahawasanya Melayu bukanlah bangsa yang lemah. Orang Melayu pernah berada di kemuncak perkembangan keilmuan sehingga terbentuknya peradaban Islam di kerajaan Acheh ini.
Rujukan
- Dr. Shah Rul Anuar Nordin & Nik Kamal Wan Mohamed, Impak Dakwah Kitab Taj al-Salatin kepada Masyarakat Melayu di Aceh, Seminar Antarabangsa Dakwah & Etnik 2014: Da’wah & Ethnicity: Multidisciplinary Perspective