Kehidupan Bermaruah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kehidupan dunia ini merupakan jambatan menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Setiap insan seumpama seorang pengembara berkelana yang berpindah randah.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apalah erti dunia bagiku. Hubunganku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah kepanasan terik mentari. Tiba-tiba kelihatan olehnya sebatang pohon lalu dia berteduh sejenak di bawah bayangan teduhannya. Sesaat kemudian, dia pun akan berlalu pergi meninggalkan tempat tersebut.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Luqman al-Hakim merupakan seorang ahli hikmah yang Allah rakamkan kisahnya dan namanya diabadikan di dalam al-Quran dengan satu surah yang dinamakan surah Luqman.

Pernah ditanya oleh anaknya: “Apakah satu benda yang paling baik dimiliki oleh setiap orang?”

Luqman menjawab: “Agama.”

Si anak bertanya kembali: “Jika dua?”

Ujar bapanya: “Agama dan harta.”

“Jika tiga?”

“Agama, harta dan sifat malu.”

“Jika empat?”

“Agama, harta, sifat malu dan akhlak yang baik.’

“Jika lima?”

“Agama, harta, sifat malu, akhlak yang baik dan sifat dermawan.”

“Jika enam?”

Luqman berkata: “Wahai anakku! Jika kelima-lima perkara tersebut terkumpul pada diri seseorang, maka dia akan menjadi seorang yang bersih dan terpelihara ketakwaannya serta selamat daripada godaan syaitan. “

Nasihat Luqman al-Hakim di atas menyingkapkan satu sisi pandangan hidup yang realistik dan amat relevan untuk mengangkat martabat dan maruah seseorang manusia di dalam masyarakat iaitu beragama, berharta, memiliki sifat malu, mempunyai akhlak yang baik dan bersifat dermawan terhadap orang yang memerlukan.

Agama sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan setiap manusia. Agama menjadikan seseorang manusia itu memiliki kekuatan rohani, moral dan mental untuk mengharungi cabaran hidup. Agama menjadikan manusia sentiasa bersifat bersungguh-sungguh, tabah dan terbuka dalam mendepani cabaran hidup di hadapannya.

Hakikat beragama sebenarnya menuntut kita menjadikan agama sebagai teras kehidupan semasa. Ini bermakna, meminggirkan agama daripada landasan hidup dalam kesibukan kita mengejar kemewahan dunia dan bergelut dengan ledakan globalisasi dan modenisasi tidak seharusnya terjadi.

Oleh itu, agama sewajibnya berfungsi sebagai momentum konkrit yang mengakari dalam setiap ruang lingkup kehidupan manusia hingga mampu memantulkan nilai-nilai Islam kepada seluruh umat manusia.

Harta pula adalah keperluan asasi yang diperlukan dalam kehidupan manusia untuk memelihara maruah dan kehormatan diri, mengelakkan diri daripada meminta-minta daripada orang lain dan menjadi beban kepada orang lain. Harta juga digunakan oleh manusia supaya mereka dapat menunaikan perintah agama.

Seorang penyair Arab terkenal pernah bermadah: “Alangkah indahnya hidup ini bila terhimpun agama dan harta pada diri seseorang manusia, dan alangkah malangnya bila terkumpul pula kekufuran dan kemiskinan dalam diri seseorang manusia.”

Sehubungan itu, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat pernah menyatakan satu pertanyaan iaitu: “Manakah yang lebih utama dan lebih banyak pahalanya di antara orang kaya tetapi bersyukur berbanding dengan orang yang miskin tetapi bersabar?”

Menurut al-Qaradawi, orang kaya yang bersyukur lebih baik dan utama berbanding dengan orang miskin yang bersabar.

Dalam masa sama, dalam usaha seseorang untuk mencari harta kekayaan, dia seharusnya memiliki sifat malu. Bagi seorang Muslim yang beriman, perkara yang utama semasa mencari harta adalah bagaimana harta kekayaan itu akan diperolehinya, bukannya berapa banyak jumlah harta kekayaan yang akan diraihnya!

Oleh sebab itu, jika sifat malu tiada, seseorang itu tidak akan berfikir lagi cara sewajarnya mencari harta.  Sebaliknya dia hanya berfikir bagaimana untuk memperolehi harta dengan lebih cepat!

Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Apakah amalan yang menyebabkan seseorang itu dicintai Allah dan dicintai sesama manusia?

Jawab Rasulullah: “Janganlah tamak terhadap harta nescaya kamu akan dicintai Allah, dan jangan pula kamu tamak terhadap hak-hak orang lain, pasti kamu akan dicintai manusia ramai.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) 

Selanjutnya, perjuangan manusia untuk meraih kejayaan di dunia ini tidak dapat lari daripada akhlak, moral dan budi pekerti yang merupakan hasil daripada sifat beragama yang bertapak dalam jiwa seseorang. Akhlak baik merupakan benteng kukuh apabila berdepan dengan segala musibah dan ujian hidup yang melanda.

Akhirnya, akhlak yang baik akan melahirkan sifat dermawan dan pemurah kepada golongan yang memerlukan. Kehidupan yang bermaruah dan bermartabat ialah sebuah kehidupan yang bermanfaat kepada orang lain. Ini kerana manusia sememangnya tidak dapat hidup bersendirian tanpa kewujudan anggota masyarakat di sekelilingnya.

Sumber: Harian Metro