Kehilangan abang berakhir khabar menyedihkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: “Tidak sangka kehilangan abang sejak Isnin lalu berakhir dengan berita menyedihkan apabila dia ditemukan tidak lagi bernyawa,” kata Syukran Mod Yusoff, 25.

Dia, adik kepada Abdullah Taifur Mohd Yusoff, 40, yang ditemukan maut selepas kereta milik lelaki itu dipercayai terbabas ke dalam paya di Kampung Kuala Kwong, Jalan Lubok Stol- Rantau Panjang di sini, 11.30 pagi, semalam.

Syukran berkata, abangnya yang juga bekerja sebagai kakitangan hospital disyaki hilang sejak Isnin apabila dia tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi menyebabkan dia sekeluarga bimbang.

“Sebelum mengetahui kejadian sebenar, salah seorang adik-beradik saya turut membuat laporan polis melaporkan kehilangan arwah, namun tidak menyangka apa yang kami takutkan, benar-benar terjadi.

“Arwah seorang yang sangat baik selain rapat dengan ibu, Che Zainun Che Daud, 64, jadi pemergiannya amat dirasai, tetapi kami reda dan berdoa semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Syukran berkata, jenazah abangnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gertak Lembu, Salor, di Kota Bharu semalam, sebaik jenazah dituntut dari Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM), malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang kampung menyatakan menemui sebuah kereta terbabas masuk ke dalam paya di lokasi kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi benar terdapat Perodua Myvi berwarna kuning di dalam paya sedalam tiga meter. Dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, kereta dapat diangkat dan menemui mangsa yang sudah meninggal dunia.

“Hasil siasatan, mangsa dipercayai dari arah Lalang Pepuyu ke Rantau Panjang sebelum kereta miliknya tidak dapat dikawal dan terbabas sendirian ke paya berkenaan.

“Jasadnya dibawa ke Unit Forensik HPM, dan pegawai perubatan bertugas mengesahkan mangsa meninggal akibat lemas,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: My Metro