Keislaman Ummu Habibah Yang Ditentang Keluarganya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Keislaman Ummu Habibah telah menggugat kedudukan Abu Sufyan. Ini kerana Abu Sufyan amat terkenal dengan sikapnya yang amat membenci terhadap Islam. Kisah penentangan beliau terhadap Islam juga menunjukkan bahawa beliau berpegang teguh kepada ajaran nenek moyangnya.

Walau bagaimanapun, ia menjadi satu tamparan hebat ke atas Abu Sufyan apabila anaknya Ummu Habibah memeluk Islam. Beliau telah berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan anaknya kepada agama asal dengan melakukan penderaan, memberikan cacian dan hinaan, namun Ummu Habibah tetap dengan keislamannya.

Nama sebenar Ummu Habibah ialah Hindun dan ada juga beberapa riwayat yang mengatakan bahawa nama aslinya ialah Ramlah binti Abi Sufyan Shakr bin Harb bin Umayyah. Namun, beliau lebih dikenali dengan gelaran Ummu Habibah, bersempena dengan anaknya, Habibah.

Beliau telah dilahirkan 17 tahun sebelum kelahiran Baginda SAW. Beliau merupakan isteri kepada Baginda SAW melalui perkahwinannya yang kedua. Diriwayatkan bahawa beliau masih hidup ketika Baginda SAW wafat.

Sebelum beliau berkahwin dengan Baginda, beliau telah berkahwin dengan ‘Ubaidullah bin Jahsy bin Riab bin Ya’mar. Mereka pernah berhijrah ke Habsyah bagi menyelamatkan diri dari kejahatan kaum Musrikin yang telah dipimpin oleh bapanya sendiri, iaitu Abu Sufyan.

Usaha Abu Sufyan untuk mengembalikan puterinya kepada agama asal adalah sia-sia kerana keimanan Ummu Habibah kepada Islam sangat kuat. Beliau telah melahirkan anaknya di Habsyah ketika sedang berjuang untuk mendalami Islam.

Tidak lama selepas itu, suaminya ‘Ubaidullah telah murtad. Dia memilih untuk kembali kepada ajaran Nasrani dan mengajak Ummu Habibah untuk mengikutinya. Walau bagaimanapun, Ummu Habibah kekal dengan pendiriannya terhadap Islam.

Diriwayatkan bahawa ‘Ubaidillah telah meninggal dunia dalam keadaan mabuk dan tinggallah Ummu Habibah bersama puterinya. Berita itu diketahui oleh Baginda SAW dan Baginda telah mengutus ‘Amr bin Umayyah adh-Dhamri kepada Raja Najasyi untuk meminang Ummu Habibah.

Pernikahan mereka telah berlangsung pada tahun ke-enam Hijrah dan diriwayatkan juga bahawa mahar yang telah diberikan kepada beliau adalah yang paling mahal berbanding isterinya yang lain, iaitu sebanyak 400 dinar.

Ummu Habibah pernah menawarkan Baginda untuk menikahi adik perempuannya agar syiar Islam itu boleh tersebar luas dan juga disebabkan oleh rasa cinta kepada Baginda SAW, namun Baginda menolaknya.

Maksud: “Wahai Rasulullah, nikahilah saudara perempuanku, anak perempuan Abu Sufyan. Nabi SAW menjawab: “Adakah engkau suka akan hal tersebut?” Ummu Habibah menjawab: “Benar, aku bukan hanya ingin menjadi isterimu, aku ingin juga saudara perempuanku bergabung denganku dalam memperoleh kebaikan.”

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Saudara perempuanmu itu tidak halal bagiku.” Ummu Habibah bertanya: “Kami mendengar berita bahawa engkau ingin menikahi anak perempuan Abu Salamah?” Baginda bersabda: “Anak perempuan Abu Salamah?” Ummu Habibah menjawab: “Ya.”

Baginda telah bersabda yang bermaksud: “Seandainya dia bukan anak tiriku yang berada dalam jagaanku, dia tetap tidak halal untuk aku nikahi kerana dia adalah anak perempuan saudara lelaki dari hubungan susuan, iaitu aku dan Abu Salamah pernah disusui oleh Tsuwaibah. Oleh kerana itu, janganlah engkau tawarkan anak perempuanmu atau saudara perempuanmu kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 5101)

Beliau juga telah mempelajari banyak hadis yang pernah disampaikan oleh Baginda SAW dan dicatatkan bahawa terdapat 65 hadis yang telah disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Beliau telah wafat di Madinah pada tahun 44 Hijrah pada zaman Khalifah Mu’awiyah binti Abi Sufyan.

Sumber: TZKRH.COM