Sebagai umat Islam, kita mengetahui bahawa Nabi Isa masih belum wafat dan akan dibangkitkan di akhir zaman kelak. Berdasarkan perkongsian Ustaz Halim Nasir di dalam temu bual bersama Manis FM menceritakan kisah Nabi Isa dan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Nabi Isa AS adalah nabi dan juga rasul dari kalangan bani Israel. Nabi Isa AS adalah seorang rasul yang dikurniakan mukjizat dan Kitab Injil oleh Allah SWT. Nabi Isa juga adalah termasuk di dalam kalangan rasul ulul azmi.
Allah berfirman tentang rasul Ulul Azmi di dalam surah Al-Ahqaf ayat 35 yang bermaksud:
“Maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan rasul (yang terdahulu daripadamu) dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu)”
Rasul-rasul Ulul ‘Azmi terdiri daripada 5 orang iaitu Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Muhammad SAW. Menurut pandangan jumhur ulama’, Rasul-rasul Ulul ‘Azmi adalah para Rasul yang menerima ujian yang paling dahsyat dan paling berat di dalam membawa ajaran Islam.
Mukjizat Nabi Isa
Mukjizat adalah perkara luar biasa atau istimewa yang dikurniakan oleh Allah kepada para Nabi dan Rasul. Nabi Isa juga tidak terkecuali dan dikurniakan beberapa mukjizat yang menunjukkan tanda kebesaran Allah SWT.
Di dalam Surah Al-Maidah ayat 110 ada menyebut tentang mukjizat pertama Nabi Isa, iaitu boleh bercakap ketika baginda masih bayi. Firman Allah Taala yang bermaksud:
(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putra Maryam, ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; “
Selain itu, butiran tentang mukjizat Nabi Isa boleh didapati di dalam Surah Ali-Imran ayat 49 yang bermaksud:
“Dan sebagai Rasul kepada Bani Israil (dia berkata), “Aku telah datang kepada kamu dengan sebuah tanda (mukjizat) dari Tuhanmu, yaitu aku membuatkan bagimu (sesuatu) dari tanah berbentuk seperti burung, lalu aku meniupnya, maka ia menjadi seekor burung dengan izin Allah. Dan aku menyembuhkan orang yang buta sejak dari lahir dan orang yang berpenyakit kusta. Dan aku menghidupkan orang mati dengan izin Allah, dan aku beritahukan kepadamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumahmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat suatu tanda (kebenaran kerasulanku) bagimu, jika kamu orang beriman.”
Nabi Isa dan Imam Mahdi Memimpin Dunia
Konspirasi untuk membunuh Nabi Isa telah dirancang oleh kaum Yahudi yang angkuh dan sombong di dalam mengikuti ajaran Islam. Namun, atas kekuasan Allah, nabi Isa telah diangkat ke langit dan mereka tidak berjaya membunuh baginda. Di dalam surah an Nisa’ ayat 157-158 yang bermaksud:
“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan “Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib) tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. “
“Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Oleh itu, penting untuk kita yakin dan percaya bahawa Nabi Isa masih hidup.
“Sungguh telah tetap dalil bahwa sesungguhnya beliau (Nabi Isa Ibn Maryam) itu hidup. Ada suatu khabar yang telah sampai dari Nabi Muhammad, ‘Sesungguhnya ia Nabi Isa itu akan turun (ke bumi), dan membunuh dajjal.’ Kemudian, sesungguhnya Allah akan mewafatkan Nabi Isa setelah itu.” (Syekh Fakhruddin ar-Razy, Tahfsir al-Kabir/Mafatih al-Qhayb, juz 8, halaman 74-78)
Diantara tanda kiamat yang besar adalah dengan turunnya Nabi Isa AS. Nabi Isa akan diturunkan pada waktu subuh di menara timur di Damsyik, Syiria. Baginda akan turun dengan diiringi oleh malaikat. Baginda akan bergerak untuk misi membunuh dajjal bersama Imam Mahdi selepas diimami solatnya oleh Imam Mahdi. Selepas dajjal berjaya dibunuh, Nabi Isa dan Imam Mahdi akan memerintah dunia selama tujuh atau lapan atau sembilan tahun. Ketika pemerintahan Nabi Isa kelak, Islam akan menang dan dunia akan menjadi aman dan harmoni. Setelah selamat semua umat Islam, Nabi Isa akan menunaikan fardhu haji dan kemudian akan diwafatkan oleh Allah SWT.